PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Kedah (Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Kuantan, Pekan dan Rompin).
“Hujan lebat turut diramal berlaku seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya serta Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin),” lapor MetMalaysia.
“Selain itu, kawasan yang dijangka terjejas adalah seluruh Melaka dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching (Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song), Bintulu dan Miri (Subis dan Beluru).
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Cuaca buruk itu turut dijangka berlaku di seluruh Labuan. – KOSMO! ONLINE














