fbpx
KELIBAT bayi merangkak di luar bangunan hospital antara kisah misteri yang dikatakan terjadi di hospital. - ILUSTRASI oleh SHAH HASAN

Penampakan bayi merangkak di luar hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAM itu, sekitar tahun 2005, Rose (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang jururawat di sebuah hospital di utara Semenanjung mengambil gilirannya bertugas syif malam.

Rose yang telah bertugas di situ sejak lima tahun lalu sering mendengar pelbagai kisah seram dan misteri membabitkan hospital itu.

Setiap kali bertugas pada waktu malam, pelbagai kisah seram yang pernah didengarinya bermain-main di fikiran.

Ada yang mendakwa pernah ternampak kelibat wanita berpakaian putih di tepi tangga, terdengar bayi menangis di wad yang kosong, malah ada yang terserempak dengan bayi yang merangkak di luar bangunan hospital.

Namun Rose bernasib baik kerana tidak pernah diganggu dengan apa juga entiti menyeramkan sepanjang bertugas di hospital yang dibina sejak zaman penjajahan British itu.

Sekitar pukul 11 malam, seperti biasa Rose bersiap sedia untuk melakukan rondaan dan memantau keadaan di wad bersalin serta memeriksa keadaan bayi yang baru bersalin.

Tiba-tiba telefon di kaunter petugas berdering, suara pemanggil yang kedengaran seperti rakan setugasnya, Haslinda meminta Rose untuk mengambil bayi yang baharu dilahirkan di wad bersalin di tingkat satu.

Rose yang ketika itu berada di tingkat dua tanpa berlengah lagi terus turun ke tingkat satu menuju ke wad seperti yang diminta rakannya.

Entah kenapa sebaik sahaja tiba di tingkat satu, tiada satu lampu pun dipasang dan suasana menjadi gelap- gelita, malah tiada sesiapa di situ.

Secara automatik Rose teringat bahawa wad tingkat satu itu baru sahaja ditutup penggunaannya kerana hospital itu akan berpindah ke blok lain tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada projek pembinaan semula hospital itu.

Perlahan-lahan Rose mengatur langkah menapak keluar dari wad. Bulu romanya terasa meremang terkenangkan kisah-kisah misteri di situ. Sebelum ini dia hanya mendengar kisah itu dan kini dia sendiri telah mengalaminya.

Siapa yang menelefon Rose meminta dia mengambil bayi di tingkat satu juga tidak diketahui memandangkan Haslinda tidak bertugas malam itu.

 

 

HOSPITAL juga tidak terkecuali menyimpan cerita-cerita seram.–GAMBAR HIASAN

Kisah Rose itu hanya secebis daripada kisah-kisah misteri yang sering dikaitkan dengan hospital tersebut yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

Bangunan hospital tersebut dibina pada tahun 1930-an dan masih kekal hingga sekarang. Namun ia tidak lagi digunakan sejak lebih lima tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan semula hospital baharu.

Bagi seorang bekas pekerja di hospital berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Awang, selain kisah Rose ‘diusik’ sebegitu, dia juga pernah terdengar kisah beberapa petugas kesihatan ternampak kelibat pasangan suami isteri yang mahu mengambil bayi mereka di hospital berkenaan.

Awang berkata, kelibat pasangan suami isteri itu sering ternampak pada waktu malam berjalan ke hospital bersalin yang telah pun ditutup penggunaannya kepada orang ramai.

“Ada rakan saya seorang pengawal keselamatan menegur mereka, ketika ditanya, mereka jawab mahu mengambil anak mereka di hospital. Tetapi selepas beberapa ketika mereka berjalan ke situ, kelibat mereka terus hilang dan rakan saya baru sedar hospital itu sebenarnya telah lama ditutup,” katanya.

Menurut Awang, dia yang telah bersara sebagai pekerja di hospital itu bagaimanapun hanya mendengar kisah-kisah misteri hospital itu daripada rakan-rakan jururawat dan pengawal keselamatan yang bertugas pada waktu malam di situ.

“Bagi saya, di mana-mana sahaja mahluk halus ada namun mereka berada di dimensi alam yang berbeza daripada manusia.

“Apa pun yang berlaku adalah dengan izin Allah dan manusia tidak boleh terlalu takut terhadap makhluk halus. Hospital itu pun sudah lama ditutup bagi memberi laluan kepada pembinaan semula hospital baharu dan kisah-kisah misteri di situ hanya tinggal kenangan petugas di sana” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN