fbpx
AZLINDA Abdul Hamid melakukan rawatan fisioterapi kepada seorang jemaah haji di Mekah, semalam.

Jangan terlalu paksa diri ketika ibadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Keadaan fizikal yang tidak bersedia selain terlalu memaksa diri ketika melakukan ibadah menjadi antara punca ramai jemaah haji mengalami masalah otot sepanjang berada di Tanah Suci.

Jurupulih Perubatan Fisioterapi Haji, Azlinda Abdul Hamid berkata, kira-kira 30 jemaah mendapatkan rawatan fisioterapi setiap hari akibat ketegangan otot selepas melaksanakan tawaf dan saie.

Menurutnya, kebanyakan jemaah mengalami kesakitan kerana tubuh yang sebelum ini kurang melakukan aktiviti fizikal secara tiba-tiba perlu berjalan jauh dalam tempoh panjang.

“Selepas tiba di Tanah Suci, ramai terus melakukan tawaf dan saie menyebabkan otot yang sebelum ini banyak berehat terkejut apabila digunakan secara berterusan.

“Selain itu, perjalanan jauh sebelum tiba di Mekah juga menyebabkan badan berada dalam keadaan letih,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Azlinda berkata, antara kes paling serius pernah dikendalikan melibatkan jemaah yang terpaksa berjalan dalam keadaan membongkok akibat terlalu menahan sakit selepas memaksa diri melakukan ibadah.

Katanya, ramai jemaah juga tidak konsisten melakukan senaman dan regangan walaupun sudah diberikan tunjuk ajar sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Ramai anggap fisioterapi hanya urutan semata-mata sedangkan senaman memainkan peranan penting untuk membantu otot pulih dan mengelakkan kecederaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah supaya melaksanakan ibadah mengikut kemampuan fizikal masing-masing dan tidak memaksa diri sehingga menjejaskan kesihatan.

“Jika sakit terlalu kuat, gunakan kemudahan seperti kerusi roda. Yang penting ibadah dapat disempurnakan tanpa memudaratkan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Azlinda menggalakkan jemaah melakukan senaman dan regangan sekurang-kurangnya tiga kali sehari sebagai persediaan menghadapi kemuncak ibadah haji di Masyair nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN