fbpx
HAMPIR 400 kanak-kanak menyertai Program Kecemerlangan Pendidikan Simulasi Haji Generasi Alfa di Masjid Sultan Yussuf Izzuddin Shah di Seri Iskandar, Parit hari ini.

Hampir 400 kanak-kanak sertai simulasi haji generasi Alfa di Perak Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIT – Hampir 400 kanak-kanak berusia bawah enam tahun menyertai Program Kecemerlangan Pendidikan Simulasi Haji Generasi Alfa anjuran Pejabat Kemas Daerah Perak Tengah di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Andalusia Travel bagi memberi pendedahan awal mengenai ibadah haji kepada generasi muda.

Peserta terdiri daripada murid 30 Tabika Kemas sekitar daerah Perak Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, program berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada ibu bapa.

Menurutnya, pendekatan simulasi secara praktikal membolehkan kanak-kanak memahami proses ibadah haji dengan lebih mudah.

Katanya, tujuan utama program itu adalah memberi pendedahan awal berkaitan rukun Islam kelima iaitu menunaikan fardu haji.

“Program ini juga menjadi salah satu kaedah pendidikan untuk memberi pengajaran kepada anak-anak tentang kepentingan mematuhi perintah Allah dan memahami tuntutan agama,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, kerjasama dengan Andalusia Travel membolehkan peserta mendapat bimbingan terus daripada fasilitator berpengalaman dan kanak-kanak didedahkan dengan proses ibadah haji secara ‘hands-on’ bagi membantu mereka memahami rukun serta wajib haji.

Katanya, pendekatan interaktif seperti itu penting bagi menarik minat generasi Alfa terhadap pembelajaran agama dan program itu juga mampu menanam impian dalam diri kanak-kanak untuk menunaikan fardu haji apabila dewasa kelak.

“Ia secara tidak langsung memberi motivasi kepada ibu bapa supaya membuat simpanan awal Tabung Haji untuk anak-anak. Pendidikan agama perlu diterapkan sejak usia muda selaras dengan pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha memberi kefahaman awal berkaitan ibadah haji dapat membantu membentuk generasi yang lebih memahami tanggungjawab sebagai umat Islam.

“Saya lihat ibu bapa cukup teruja termasuk menyediakan pakaian dan peralatan bagi memastikan anak-anak dapat merasai pengalaman simulasi haji dengan lebih baik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kemas, Andalusia Travel dan semua pihak yang bekerjasama menjayakan program tersebut.

“Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang memastikan program ini berjalan lancar serta memberi impak besar kepada anak-anak dalam mengenali ibadah haji,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN