BAPA saya telah meninggal dunia dan dia memiliki duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang perlu dibahagi-bahagikan kepada waris. Soalan saya, adakah saya perlu mengeluarkan zakat terlebih dahulu sebelum membahagikan kepada semua waris?
JAWAPAN: DUIT sumbangan KWSP merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) dengan menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan.
Di bawah akta KWSP, semua rakyat Malaysia yang bekerja diwajibkan untuk mencarum sebahagian pendapatannya di dalam kumpulan wang ini. Caruman tersebut akan dikreditkan ke akaun individu ahli di KWSP.
Amaun caruman terdiri daripada pekerja dan majikan, ia dikira berdasarkan gaji bulanan pekerja. Kadar caruman semasa adalah mengikut upah/gaji bulanan diterima.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120 yang bersidang pada 1 November 2019 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum dan Kaedah Taksiran Zakat ke atas Skim Pengeluaran Caruman KWSP.
Fatwa telah diwartakan iaitu pengeluaran simpanan caruman KWSP yang telah memenuhi syarat milk al-taam dan bukan bagi tujuan perbelanjaan hajah asliyah diwajibkan zakat ke atas keseluruhan amaun caruman yang dikeluarkan pada kadar 2.5 peratus (%), tertakluk kepada nisab dan tanpa perlu menunggu haul.
Kedua, simpanan caruman KWSP yang telah memenuhi syarat milk al-taam tetapi caruman tidak dikeluarkan, keseluruhan amaun caruman yang layak dikeluarkan daripada caruman itu diwajibkan zakat pada kadar (2.5%), tertakluk kepada nisab dan tanpa menunggu haul.
Berdasarkan syarat-syarat wajib zakat di sisi mazhab Syafi’i adalah Islam, merdeka, al-milk al-tam (pemilikan sempurna), nisab dan haul.
Perbincangan ulama silam yang hampir dengan isu zakat KWSP adalah zakat harta yang dirampas, hilang atau harta yang ditahan oleh pemerintah.
Mazhab Hanafi mengistilahkannya dengan zakat al-Mal al-Dhimar.
Al-Mausuah al-Kuwaitiyyah mendefinisikan al-Mal al-Dhimar sebagai: “Semua harta yang pemiliknya tidak memiliki kemampuan untuk mengambil manfaat dengannya kerana harta tersebut tidak berada dalam pemilikannya.”
Pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i dan mazhab Hanbali, harta-harta yang dicuri atau hilang tetap wajib untuk dizakatkan setelah harta tersebut diperolehi semula, di samping mengqada semula zakat bagi tahun-tahun ketika harta itu hilang bermula dari caruman tersebut mencukupi nisab dan melepasi tempoh haul.
Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Baijuri dalam Hasyiah al-Baijuri: “Zakat juga wajib ke atas harta yang dirampas, disekat (senarai hitam), tercicir dan hilang sekalipun tidak mungkin untuk mendapatkannya.”
Begitu juga dengan harta yang dihutangkan sama ada berbentuk wang ringgit atau barang dagangan kerana semuanya memiliki pemilikan yang sempurna, di samping keumuman dalil-dalil yang ada.
Namun zakat tersebut tidak wajib dikeluarkan melainkan setelah dia mampu untuk mengambilnya kembali, lalu hendaklah dikeluarkan zakat bagi haul-haul yang sebelumnya.
Meskipun begitu, jika harta tersebut musnah, maka gugur kewajipan zakat ke atasnya.
Meskipun begitu, di Wilayah Persekutuan kita mengambil pandangan mazhab Maliki yang hanya mewajibkan untuk membayar zakat al-Mal al-Dhimar untuk tempoh setahun setelah memperolehnya, walaupun harta tersebut hilang dalam tempoh lama.
Syeikh Yusuf al-Mawwaq dari mazhab Maliki berkata: “Pendapat yang masyhur (pandangan yang terkuat) hutang bagi zakat harta yang dicuri perlu dizakatkan dengan sekali zakat sahaja ketika dia memperoleh kembali harta tersebut.”
Berdasarkan penjelasan di atas, kami merumuskan bahawa menurut mazhab Syafi’i, individu yang mempunyai simpanan dalam KWSP dianggap telah memiliki harta tersebut secara sempurna (milk tam).
Jadi , walaupun seseorang itu meninggal dunia sebelum dibenarkan mengeluarkan simpanannya (belum tamakkun), zakat tetap diwajibkan ke atas harta tersebut.
Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-142 telah memutuskan bahawa waris wajib mengeluarkan zakat daripada wang KWSP si mati.














