PENGURUS pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin mengingatkan Hakim Danish Ramli supaya berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu di Litar Le Mans menjelang aksi Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Perancis, hujung minggu ini.
Zulfahmi menegaskan bahawa faktor cuaca yang diramalkan hujan minggu ini dan karakter teknikal litar tersebut sering menjadi cabaran utama, namun dia tetap optimis Danish mampu meneruskan momentum positif selepas mempamerkan kebangkitan di Jerez, baru-baru ini.
“Le Mans sentiasa menjadi litar yang mencabar, terutamanya dengan keadaan cuaca yang sukar dijangka. Fokus kami adalah untuk memastikan perkembangan positif Danish berterusan dan membantu beliau menyesuaikan diri seawal mungkin sejak sesi pertama.
“Dalam Moto3, perbezaan prestasi sangat kecil, jadi setiap aspek perlu diperhalusi dengan teliti. Saya akan berada di sini bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar dan memberikan sokongan penuh kepada pasukan,” kata Zulfahmi.
Danish yang kini membawa cabaran pasukan AEON Credit MT-Helmets-MSI menghuni tangga ke-15 keseluruhan dengan 12 mata, selepas berjaya mengutip mata berharga pada Grand Prix (GP) Sepanyol.
Meskipun sedar tahap persaingan kelas Moto3 jauh lebih sengit, pelumba kelahiran Terengganu itu memiliki kelebihan tersendiri memandangkan dia pernah mencatatkan keputusan cemerlang di litar yang sama ketika bersaing dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu.
Zulfahmi percaya pengalaman lalu mampu menjadi ‘senjata’ buat Danish untuk mencabar kelompok hadapan sekali gus mengutip mata.
“Kami percaya dengan pengalaman yang dimilikinya di litar ini serta momentum semasa, Danish mampu memberikan saingan yang lebih kompetitif dan berpeluang meraih keputusan yang lebih baik,” tambahnya.














