SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus memperkukuhkan reputasinya di persada antarabangsa apabila bidang Perakaunan dan Kewangan universiti itu berjaya tersenarai dalam kelompok 300 terbaik dunia dalam QS World University Rankings by Subject 2026.
Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, pencapaian tersebut mencerminkan keupayaan UiTM melahirkan graduan berdaya saing, inovatif dan bersedia mendepani cabaran masa depan di peringkat global.
Menurut baginda, kecemerlangan akademik sahaja tidak lagi mencukupi sebaliknya graduan perlu memiliki kebijaksanaan membuat pertimbangan serta keupayaan, untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang sentiasa berubah.
“Jadilah insan yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kebenaran, dan berintegriti dalam setiap tindakan.
“Graduan bidang perakaunan memainkan peranan penting ke arah memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus dalam sektor ekonomi,” titah baginda pada sidang kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini, hari ini.
Baginda turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian Fakulti Perakaunan UiTM yang mengekalkan pengiktirafan ACCA Platinum Approved Learning Partner, iaitu tahap tertinggi diberikan kepada institusi pendidikan.
Malah, baginda bertitah, lebih membanggakan apabila pelajar UiTM berjaya mengharumkan nama universiti di pentas antarabangsa selepas meraih kedudukan teratas dunia dalam peperiksaan profesional ACCA sekali gus membuktikan kualiti pendidikan institusi itu berada pada standard global.-KOSMO! ONLINE.














