KUALA LUMPUR – Taktik penipuan menggunakan penyamaran sebagai pembekal cenderahati dan makanan terus dikesan aktif apabila mangsa diperdaya membuat bayaran bagi tempahan yang sebenarnya tidak wujud.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sindiket berkenaan menggunakan helah menyamar sebagai wakil agensi kerajaan atau syarikat swasta untuk meyakinkan mangsa sebelum membuat tempahan dalam kuantiti besar.
“Mereka akan menghubungi mangsa seolah-olah membuat pesanan sah. Selepas urusan dibuat dan bayaran diselesaikan, barangan tersebut tidak dihantar,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 80 kes direkodkan di seluruh negara dengan jumlah kerugian mencecah RM1.9 juta.
“Pada tahun lalu, sebanyak 241 kes direkodkan dengan jumlah kerugian melebihi RM8 juta, menunjukkan kes masih berlaku walaupun jumlah kerugian berubah-ubah,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun modus operandi digunakan agak mudah, masih ramai mangsa terpedaya dengan helah tersebut. – KOSMO! ONLINE














