PUTRAJAYA – Malaysia kekal berada dalam kedudukan stabil daripada segi bekalan minyak dan gas apabila sumber tenaga negara terus terjamin, meskipun berdepan tekanan kenaikan harga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini, Malaysia adalah antara negara ASEAN yang terjamin bekalan minyak dan gasnya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kedudukan itu disokong hasil hubungan baik dengan Iran, Rusia, Turkmenistan dan Uzbekistan yang turut memberi jaminan daripada segi bekalan.
“(Ketika ini) Bekalan memang ada. Kita bernasib baik Malaysia antara negara ASEAN yang terjamin bekalan minyaknya dan gasnya. Jaminan itu diperoleh hasil hubungan diplomatik yang baik, termasuk dengan Iran yang antara negara awal memberi laluan kepada Malaysia susulan komunikasi di peringkat tertinggi.
“Semalam, Tan Sri Mohd. Hassan Marican (Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara) bagi maklumat terkini dari Petronas tentang usaha-usaha kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRESS) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, walaupun bekalan terjamin, peningkatan harga bahan api itu adalah cabaran utama yang perlu ditangani kerajaan.
Menurutnya, kerajaan terus berdepan tekanan kos bagi menampung subsidi bahan api, khususnya bagi memastikan harga RON95 kekal pada kadar semasa iaitu RM1.99 seliter.
“Jadi, daripada segi bekalan, tapi harga meningkat. Ini bukan masalah yang berpunca daripada kita, tapi yang berlaku dan sekarang harus kita kawal.
“Satu dunia tidak ada yang boleh menyaingi kita. Kita (Malaysia) paling rendah di dunia, RM1.99 (RON95), melainkan Brunei,” katanya.
Katanya, Malaysia masih mempertahankan harga RON95 bagi mengelakkan beban tambahan kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, jika harga global bahan api itu terus meningkat, subsidi ditanggung kerajaan akan mencecah sekitar RM5 bilion sebulan.
“Bayangkan, 10 bulan RM50 bilion daripada dana kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














