PICKLEBALL ialah sukan raket yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan pingpong, dimainkan di gelanggang kecil menggunakan paddle dan bola berlubang.
Sukan ini semakin popular kerana mudah dipelajari serta sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kecergasan.
Di Malaysia, pickleball semakin berkembang dengan peningkatan penyertaan dalam kejohanan serta minat golongan muda yang menjadikannya sebagai sukan rekreasi dan kompetitif.
Bagi Ronan King Yuent, populariti pickleball mendorongnya beralih daripada sukan tenis untuk berada dalam suasana yang penuh saingan.
“Saya lebih berminat dengan pickleball kerana suasana permainannya lebih menarik dan mendapat sambutan daripada pelbagai latar belakang.
“Squash pula agak sunyi dan kurang dikenali berbanding pickleball, terutama di Malaysia. Kemungkinan kerana ia dianggap sukan yang mahal.
“Memandangkan pickleball lebih aktif, saya mempunyai banyak kejohanan menarik untuk disertai hampir setiap minggu,” katanya kepada K-Remaja.
Pemuda berusia 22 tahun itu menjalani latihan sekitar dua jam sehari selama kira-kira lima hari seminggu dan berehat selama dua hari bagi proses pemulihan badan.
Anak jati Sarawak itu juga memastikan dirinya menyertai kejohanan pickleball sekurang-kurangnya sekali sebulan bagi mengekalkan momentum permainannya.
Biarpun begitu, Ronan tidak menggunakan perkhidmatan jurulatih, sebaliknya lebih fokus kepada latihan kendiri serta bermain secara santai bersama rakan.
Tambahnya, dia turut menyertai kejohanan yang mempunyai kategori seperti pemula, lanjutan dan terbuka.
“Saya berada dalam kategori pemain lanjutan bagi tiga format permainan iaitu perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran.
“Dalam setiap bulan, saya pasti akan membawa pulang sekurang-kurangnya satu kemenangan daripada pelbagai kejohanan yang saya sertai.
“Tetapi saya lebih suka menyertai kejohanan terbuka dan pemula kerana hadiah kewangannya lebih besar memandangkan ia menerima banyak penyertaan,” katanya.
Hasil usahanya dalam sukan ini telah menarik perhatian pihak korporat apabila Ronan pernah menerima penajaan paddle daripada jenama Luzz.
Selain itu, hadiah kemenangan dalam sukan pickleball boleh mencecah sekitar RM3,000 hingga RM4,000 bagi sesetengah kejohanan, sekali gus menjadi sumber pendapatan sampingan kepadanya.
Tidak terhenti di situ, Ronan juga terlibat dalam aktiviti kejurulatihan secara sambilan di Pickle Social Club, Damansara pada setiap hujung minggu.
Permintaan terhadap khidmat jurulatih yang tinggi membolehkannya mengajar ramai klien secara bayaran mengikut jam.
“Saya merupakan pelajar tahun ketiga Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Malaya, jadi terdapat fleksibiliti bagi saya untuk melakukan aktiviti sebagai seorang atlet.
“Jadual saya dibahagikan antara latihan, pertandingan dan sebagai jurulatih yang hanya mengambil beberapa jam dalam seminggu.
“Sekiranya ada kejohanan yang bakal berlangsung, saya akan mengurangkan sesi sebagai jurulatih untuk memberi lebih fokus kepada latihan dan pertandingan,” katanya yang berhajat untuk mewakili Malaysia suatu hari nanti.














