KUALA TERENGGANU – Dua tenaga pengajar sebuah badan berkanun di Terengganu ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000 sebagai balasan mengeluarkan 31 sijil lulus kelayakan kompetensi tidak sah pada tahun lalu.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan awal mengesyaki dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an tersebut melakukan perbuatan tersebut pada tahun lalu.
“Siasatan awal percaya kedua-dua suspek bersubahat dalam aktiviti memberi sijil kompetensi sebagai ‘kelulusan segera’ kepada peserta terlibat.
“Mereka disyaki menerima antara RM500 hingga RM1,500 sebagai balasan mengeluarkan setiap sijil kompetensi berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sumber SPRM berkata, setakat ini, pemberian sijil kompetensi palsu berkenaan dipercayai melibatkan 31 peserta.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kes penipuan sijil kompetensi badan berkanun tersebut berlaku dalam skala besar.
“Sehubungan itu, kami mungkin akan menyemak kesahihan semua sijil kompetensi dikeluarkan badan berkanun berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














