KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memohon sebarang cadangan pemotongan bajet yang membabitkan perkhidmatan penting yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan rakyat dipertimbangkan semula.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyambut baik permohonan pihaknya agar pemotongan sebanyak RM3.04 bilion yang dicadangkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan tidak dilaksanakan.
“Ia (pemotongan perbelanjaan) akan dipertimbangkan semula hal-hal yang terkait dengan semua perkhidmatan penting kami, hal yang terkait dengan kakitangan, sumber kami dan sebagainya.
“Justeru, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha dan pasukan untuk segera mengemukakan cadangan, sekiranya perlu dibuat potongan, ia hanya melibatkan perkara yang bukan perkhidmatan teras atau tidak berkait dengan sumber manusia,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Menjalara, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar menegaskan pengambilan kakitangan kesihatan termasuk doktor dan jururawat tidak akan terjejas susulan cadangan langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan.
Ia susulan Kementerian Kewangan sebelum ini mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Cadangan itu dilaporkan dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan, khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pemotongan bajet juga tidak melibatkan aspek pembangunan kementeriannya kerana ia tetap menjadi keutamaan bagi memastikan kemudahan kesihatan dapat disiapkan.
Menurutnya, sehingga kini terdapat beberapa aspek untuk pemotongan telah dikenal pasti, namun ia tidak melibatkan perkara teras kementerian.
“Kalau boleh, kita tidak mahu ada potongan langsung. Namun, jika perlu dilaksanakan, ia hanya membabitkan perkara yang bukan perkhidmatan penting atau yang tidak berkait dengan kemaslahatan rakyat.
“Saya lihat ada beberapa pemotongan boleh dibuat, (tetapi) butirannya saya tidak perlu sebutkan. Tapi ada beberapa ruang untuk pemotongan itu dibuat tetapi perkara-perkara besar dan mustahak itu kami sangat mengharapkan tidak akan ada potongan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














