PUTRAJAYA – Kerajaan kini terpaksa menanggung RM5 bilion kos subsidi bahan api sebulan susulan ketidaktentuan harga minyak akibat konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat mendadak berbanding RM700 juta sebulan yang ditanggung kerajaan sekitar Januari lalu.
Beliau berkata, jika harga itu kekal meningkat, kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi lebih tinggi pada masa depan.
“Kalau harga setakat sekarang, RM5 bilion satu bulan. Bayangkan 10 bulan, RM50 bilion daripada dana kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.
Anwar berkata, keadaan tersebut memerlukan penjawat awam memahami kekangan sebenar kerajaan dalam menguruskan subsidi bahan api agar tidak timbul salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Mana-mana ketua jabatan dalam mesyuarat itu terangkanlah sikit. Tidak boleh kata ini urusan Kementerian Ekonomi atau Kementerian Kewangan, tak. Ini urusan kita,” katanya
Dalam pada itu, beliau turut meminta Kementerian Ekonomi atau Kementerian Kewangan serta kementerian berkaitan untuk meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada kelompok-kelompok rakyat yang masih terjejas. – KOSMO! ONLINE














