PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA bersama sembilan lagi aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 akan kembali meneruskan pelayaran ke Gaza, Palestin.
Zainal Rashid berkata, mereka yang sebelum ini dibebaskan selepas ditahan rejim Israel, akan meneruskan misi GSF itu melalui pelayaran bermula dari Istanbul, Turkiye.
“10 orang sihat, walaupun menerima pelayanan buruk di atas kapal. Tapi kami konsisten, singgah di Istanbul bukan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Kami meneruskan pelayaran dari Istanbul ke Gaza,” katanya menerusi satu hantaran video pada Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat Malaysia terus bersatu dalam soal Gaza, malah meminta kerajaan untuk menghantar nota bantahan bagi membebaskan dua lagi aktiviti Saif Abukeshek dan Thiago Avila yang ditahan Israel.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 dilaporkan diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim Israel.
Insiden tersebut berlaku ketika flotila menghampiri perairan Greece dengan 21 kapal disahkan telah dipintas oleh pihak rejim pada jarak kira-kira 80 batu nautika.
Mereka kemudian dilepaskan di Pelabuhan Lera Petra di Kepulauan Crete serta dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion menaiki bas yang disediakan oleh pihak Greece serta diterbangkan ke Istanbul. – KOSMO! ONLINE














