PETALING JAYA – Mahkamah Majistret Ashkelon, Israel hari ini melanjutkan tempoh tahanan dua pemimpin aktivis Global Sumud Flotilla, Thiago de Avila dan Saif Abukeshek selama dua hari lagi sehingga Selasa ini.
Keputusan itu dibuat susulan penahanan kedua-dua aktivis terbabit selepas mereka ditahan tentera laut Israel ketika misi flotila kemanusiaan di perairan antarabangsa pada 30 April lalu.
Menurut kenyataan peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) hari ini, pihak pendakwa raya Israel pada prosiding mahkamah memohon lanjutan reman selama empat hari dengan mengemukakan beberapa dakwaan serius.
Antaranya termasuk membantu musuh ketika perang, berhubung dengan ejen asing, keanggotaan serta memberi perkhidmatan kepada organisasi pengganas dan pemindahan harta untuk organisasi pengganas.
Bagaimanapun, peguam Adalah, Hadeel Abu Salih dan Lubna Tuma berhujah bahawa keseluruhan proses perundangan tersebut adalah tidak sah serta melanggar undang-undang antarabangsa.
Mereka menegaskan Israel tidak mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk mendakwa warga asing yang ditahan di perairan antarabangsa, selain menyifatkan pertuduhan keselamatan itu sebagai tindakan balas terhadap pemimpin aktivis kemanusiaan.
Adalah turut mendakwa kedua-dua aktivis berkenaan menjadi mangsa penderaan fizikal serius termasuk dipukul, diasingkan serta ditutup mata selama beberapa hari ketika dalam tahanan di laut.
Setakat ini, tiada pertuduhan rasmi difailkan terhadap Thiago dan Saif, namun kedua-duanya masih ditahan di pusat tahanan Shikma, Ashkelon bagi siasatan lanjut.
Menurut Adalah, kedua-dua aktivis itu juga meneruskan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan yang didakwa menyalahi undang-undang serta layanan buruk yang diterima mereka sepanjang tempoh tahanan.- KOSMO! ONLINE














