SHAH ALAM – Ledakan kandungan berunsur simpati di media sosial kini mencetuskan krisis kepercayaan apabila orang ramai semakin sangsi terhadap kesahihan kisah menyayat hati yang dipaparkan.
Seorang penjawat awam, Siti Baaqiah Mamat, 36, berkata, orang ramai perlu menyemak latar belakang dan situasi terlebih dahulu sebelum membuat sumbangan.
Katanya, kandungan berunsur emosi sememangnya mudah menyentuh hati, namun masyarakat tidak wajar terpedaya tanpa pengesahan, terutama jika melibatkan kutipan dana dalam talian.
“Kalau betul, boleh beri, tetapi kalau ragu-ragu, lebih baik kita abaikan agar tidak tertipu.
“Jadi, kena siasat dan pastikan kesahihan. Saya lihat benda sebegini boleh buat duit dengan mudah. Ia perlukan kewaspadaan tinggi kerana sekarang ini ada kumpulan atau individu yang menjadikan emosi sebagai perniagaan.
“Jika dahulu kisah peribadi lebih banyak disembunyikan, namun kini ia seolah-olah menjadi pentas terbuka untuk meraih perhatian dan keuntungan,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Syahidatul Maryam Mohamed Zan, 34, berkata, dia tetap memberi sumbangan, namun hanya kepada kes-kes yang diyakini sahih.
Katanya, penelitian penting kerana terlalu banyak kandungan yang menggunakan elemen emosi secara berlebihan tanpa pengesahan jelas.
“Kalau kes melibatkan pesakit atau orang kurang upaya yang benar-benar memerlukan, saya akan bantu tetapi selepas dipastikan kesahihannya dahulu.
“Sekarang ini kita tidak boleh bergantung pada emosi semata-mata bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Bagi Norzamira Che Noh, 37, pula, kumpulan atau individu terbabit licik apabila menggunakan akaun bank sementara semata-mata untuk menerima sumbangan orang ramai.
“Kalau nak bantu, saya lebih selesa menghubungi mereka terus. Kalau sekadar QR kod, saya tak akan beri sumbangan.
“Sekarang ini semua boleh dipalsukan, termasuk surat perubatan. Jadi memang kena semak betul-betul,” katanya.














