JEDDAH – Harga badal haji di bawah 9,000 riyal atau RM9,500 mencetuskan keraguan ekoran kadar itu tidak selari dengan kos sebenar pelaksanaan ibadah berkenaan di Tanah Suci.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, hal ini kerana harga pakej haji yang ditawarkan kepada pemastautin di negara itu sendiri mencecah sekurang-kurangnya sekitar 9,000 hingga 10,000 riyal.
Katanya, harga badal haji yang terlalu murah dan bawah kos tersebut telah menimbulkan persoalan terhadap kesahihan mana-mana tawaran badal haji oleh segelintir pihak tertentu.
“Nasihat kami, sekiranya sesuatu perkhidmatan badal haji ditawarkan pada harga yang terlalu murah, ia wajar menimbulkan tanda tanya.
“Kita sedia maklum kos sebenar untuk menunaikan ibadah haji adalah tinggi.
“Justeru, tawaran yang terlalu rendah berkemungkinan tidak memenuhi rukun atau wajib haji yang ditetapkan.
“Sehubungan itu, rakyat Malaysia disarankan supaya lebih berhati-hati dan melakukan semakan secara teliti sebelum mendapatkan perkhidmatan badal haji, bagi memastikan ibadah tersebut dilaksanakan dengan sah dan sempurna,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas ketibaan 276 jemaah haji daripada KT48 di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Mohd. Dzaraif berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan yang melibatkan rakyat Malaysia berkaitan kes badal haji palsu atau penipuan.
“Namun, berdasarkan laporan media tempatan di Arab Saudi, terdapat beberapa kes melibatkan cubaan menunaikan ibadah haji tanpa permit yang sah.
“Alhamdulillah, setakat ini ia tidak melibatkan rakyat Malaysia dan diharapkan keadaan ini kekal sehingga berakhirnya musim haji nanti, insya-Allah,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan Arab Saudi kini memperketat penguatkuasaan menjelang kemuncak musim haji bagi memastikan hanya jemaah yang mempunyai permit sah dibenarkan berada di MekaH
“Selain sekatan di laluan masuk melalui pemeriksaan (checkpoint), pihak berkuasa turut menjalankan operasi ke atas rumah persendirian dan hotel bagi memeriksa setiap penghuni.
“Mereka akan memastikan semua individu memiliki permit haji yang sah. Jika tiada, individu berkenaan diarahkan keluar dari Mekah.
“Malah, tempoh tertentu telah diberikan sebelum ini dan mana-mana pihak yang masih berada di kota suci tanpa permit selepas tempoh itu dianggap melakukan kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














