MEKAH – Tempoh dua jam ditetapkan bagi memastikan jemaah haji yang tersasar selepas menunaikan ibadah di Masjidil Haram dapat dikenal pasti, dibantu dan dihantar pulang ke penginapan masing-masing dengan segera.
Pengurus Unit Khidmat Pelanggan Operasi Haji, Azrisham Mahmad berkata, langkah itu merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan kebajikan jemaah dilindungi sepanjang berada di Tanah Suci.
Katanya, proses mengesan jemaah akan dilakukan sebaik sahaja pihaknya menerima maklumat daripada pusat panggilan mengenai jemaah yang tidak mengetahui arah pulang ke hotel selepas menunaikan umrah di Masjidil Haram.
“Kes tersasar biasanya berlaku ketika jemaah kali pertama menunaikan umrah dan masih belum biasa dengan persekitaran di Mekah. Namun, jika berdepan situasi ini, jemaah boleh menghubungi pusat panggilan pada bila-bila masa.
“Sebaik sahaja Unit Khidmat Pelanggan menerima maklumat, pasukan peninjau yang ditempatkan di sekitar Masjidil Haram akan digerakkan untuk mencari dan membantu jemaah kembali ke hotel penginapan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Azrisham, setiap aduan yang diterima dikategorikan kepada tiga tahap iaitu ringan, sederhana dan berat, dengan tempoh penyelesaian berbeza mengikut jenis kes.
“Sebagai contoh, kes jemaah tersasar perlu diselesaikan dalam tempoh dua jam, manakala aduan kerosakan bagasi diberi tempoh sehingga tiga hari untuk tindakan lanjut.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan sebarang masalah yang dihadapi jemaah tidak menjejaskan tumpuan mereka dalam menunaikan ibadah haji,” katanya.
Tambahnya, antara aduan paling kerap diterima setakat ini melibatkan kerosakan bagasi susulan perjalanan jauh dari Madinah ke Mekah, selain kes jemaah terpisah daripada kumpulan.
“Unit Khidmat Pelanggan menjadi tulang belakang dalam memastikan setiap aduan jemaah dapat diselesaikan dengan segera dan berkesan.
“Bertugas 24 jam secara syif, unit ini menjadi tempat bergantung jemaah haji Malaysia dalam menangani pelbagai isu sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya sentiasa membawa kad pengenalan diri serta maklumat hotel bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku kecemasan.
“Penggunaan teknologi seperti kod QR dan aplikasi peta juga boleh membantu jemaah mencari jalan pulang dengan lebih mudah,” katanya.- KOSMO! ONLINE














