Nur Sakinah

Jemaah haji mohon pinda tarikh interview PDPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Seorang jemaah haji merayu agar Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mempertimbangkan penjadualan semula temu duga bagi Program Diploma Pascasiswazah (PDPP) kerana dia sedang menunaikan haji pada tarikh tersebut.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera Sejarah Universiti Malaya (UM), Nur Sakinah Samsudin, 23, berkata, dia mendapat makluman mengenai panggilan temu duga tersebut pada Rabu lalu dan telah berlepas ke Arab Saudi pada 19 April lepas.

Katanya, dia menghantar e-mel kepada Bahagian Tajaan Pendidikan KPM pada Khamis lalu bagi menangguhkan tarikh temu duga, namun jawapan yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

“E-mel tersebut menyatakan alasan musim haji bermula pada 27 Mei dan temu duga dijadualkan pada 27 April sedangkan tarikh tersebut adalah hari wukuf dan saya sudah berlepas ke Arab Saudi hampir seminggu lalu.

“Saya juga memohon untuk dibuat temu duga secara dalam talian tetapi belum ada maklum balas diberikan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, dia juga ada menghubungi nombor telefon yang diberikan dalam e-mel berkenaan, namun tiada jawapan.

Dia yang berasal dari Jitra itu juga berharap KPM boleh mempertimbangkan untuk mengubah masa ambilan kerana kebanyakan pelajar universiti belum tamat pengajian sepenuhnya pada Mac hingga April yang menjadi waktu pengambilan itu dibuka.

“Orang muda ramai dapat panggilan haji jadi KPM perlu ada pelan berbeza bagi calon yang mendapat tawaran haji yang biasanya diperoleh sekali,” ujarnya.

Nur Sakinah yang bercita-cita menjadi guru pernah memohon untuk masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG) selepas mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, namun ditolak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN