PETALING JAYA – Kesejahteraan mental dan emosi pekerja kini diangkat sebagai keutamaan nasional apabila kerajaan menegaskan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja tidak lagi boleh tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata.
Bertemakan ‘Bersama Memastikan Persekitaran Psikososial Kerja yang Sihat’ bagi Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan 2026 hari ini, ia mencerminkan keperluan mendesak untuk melindungi pekerja secara menyeluruh.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tema tersebut bukan sekadar slogan, tetapi ia adalah satu seruan tindakan yang mencerminkan realiti dan cabaran dunia pekerjaan masa kini.
Beliau berkata, kesejahteraa mental dan emosi pekerja tidak lagi boleh dipinggirkan, sebaliknya mesti diangkat sebagai keutamaan nasional.
“Sambutan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif global yang diraikan setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
“Namun, bagi kita di Malaysia, ia membawa makna yang lebih besar iaitu satu tekad berterusan untuk memastikan setiap pekerja bukan sahaja selamat secara fizikal, tetapi juga sihat dan sejahtera dari sudut mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan 2026, anjuran Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dalam majlis yang sama, Ramanan turut menyaksikan penyerahan surat tawaran pekerjaan melalui platform MYFutureJobs Perkeso, yang mempertemukan wakil majikan dengan para pencari kerja yang berjaya memperoleh penempatan.
Sementara itu, beliau berkata, sebagai negara anggota Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Malaysia kekal konsisten menganjurkan sambutan ini sejak tahun 2003.
Ujarnya, komitmen ini diperkukuh lagi melalui ratifikasi ILO Convention No. 187 pada tahun 2012, yang menjadi asas penting dalam memperkasa kerangka keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara.
“Kesuma melalui JKKP turut memperkukuh kerangka perundangan menerusi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang menekankan kepentingan persekitaran kerja yang mengambil kira keperluan fisiologi dan psikologi pekerja.
“Seiring dengan itu, pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026–2030 (OSHMP30) bermula tahun ini menjadi pemangkin kepada pendekatan yang lebih holistik dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi negara untuk membina tenaga kerja yang bukan sahaja produktif, tetapi juga sejahtera secara menyeluruh,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ramanan berkata, negara tidak boleh lagi melihat keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kerangka lama.
Jelasnya, masa depan dunia pekerjaan menuntut kerajaan untuk bertindak lebih proaktif, lebih inklusif, dan lebih berani dalam melindungi setiap pekerja kerana di sebalik setiap tenaga kerja, ada sebuah keluarga yang bergantung harap.- KOSMO! ONLINE














