PONTIAN – Walaupun kos bahan mentah meningkat, seorang peniaga gerai makan di Kampung Sungai Durian, Permas di sini masih mengekalkan harga roti canai RM1 sekeping sejak 20 tahun lalu.
Abd. Talib Mahmud, 62, berkata, keputusan itu dibuat kerana rata-rata pelanggan setianya terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Katanya, biarpun harga tepung, minyak masak dan telur mengalami kenaikan sejak 2006, dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga makanan sarapan popular tersebut.
“Ada yang mencadangkan supaya harga roti canai dinaikkan 10 sen atau 20 sen, tetapi saya pilih untuk mengekalkan harga RM1 kerana ramai pelanggan terdiri daripada nelayan, pekebun kecil, pekerja kilang, pesara dan warga emas,” katanya ketika ditemui di gerainya semalam.
Gerai Abd. Talib yang beroperasi pada pukul 5 pagi itu tidak pernah putus-putus menerima pelanggan, terutama selepas solat subuh dan mereka yang bekerja awal pagi.
Katanya, sebanyak 300 keping roti canai dijual tidak sampai tiga jam pada hari biasa dan jumlahnya mencecah sehingga 400 keping pada hujung minggu.
Abd. Talib berkata, proses menguli tepung dilakukan secara manual pada waktu malam bagi memastikan tekstur doh lebih lembut dan mudah ditebar pada awal pagi.
Gerai milik warga emas itu turut menawarkan minuman seperti kopi ‘O’ dan teh ‘O’ pada harga RM1 segelas, manakala teh tarik dan kopi susu pula RM2 segelas. Menu lain yang dijual adalah nasi lemak, lontong, mi dan bihun goreng.
Abd. Talib yang dibantu tujuh pekerja termasuk isterinya, Jorah Johari, 59, memberitahu, walaupun keuntungan yang diperoleh tidak besar, namun dia bersyukur kerana masih mampu menyara keluarga dengan perniagaan tersebut.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Hasserin Daud, 60, berkata, gerai tersebut sentiasa menjadi tumpuan kerana menawarkan harga makanan dan minuman yang berpatutan sama ada untuk dimakan di premis berkenaan atau dibungkus.
“Saya sendiri hampir setiap hari datang ke gerai ini untuk bersarapan dan bertemu rakan-rakan seusia.
“Harga roti canai RM1 sekeping sekarang terutama memang sukar nak jumpa. Di sinilah tempat kami berkumpul setiap pagi,” ujarnya.
















