KUALA PERLIS – Perkhidmatan Ar-Rahnu Agrobank menjadi antara fokus utama pembukaan Cawangan Agrobank Kuala Perlis apabila menawarkan akses tunai segera kepada komuniti setempat.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kemudahan itu diperkenalkan sebagai projek perintis pertama di kawasan tersebut.
“Perkhidmatan Ar-Rahnu Agrobank ini ditawarkan sebagai projek perintis pertama di Kuala Perlis bagi menyediakan akses tunai segera kepada komuniti setempat.
“Langkah ini penting dalam memastikan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan dapat memperoleh sumber kewangan dengan cepat dan mudah,” katanya pada Majlis Perasmian Cawangan Agrobank Kuala Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke majlis tersebut seterusnya berkenan merasmikan Cawangan Agrobank Kuala Perlis semalam.
Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, kemudahan tersebut memberi manfaat besar kepada komuniti pesisir seperti nelayan, petani serta usahawan kecil yang memerlukan aliran tunai segera untuk kelangsungan operasi harian.
“Melalui Ar-Rahnu, pelanggan tidak perlu melalui proses pinjaman yang rumit sebaliknya boleh mendapatkan pembiayaan segera berasaskan cagaran yang lebih fleksibel.
“Ini sekali gus membantu mereka menguruskan keperluan kewangan jangka pendek tanpa tekanan,” ujarnya.
Tambah beliau, penyediaan perkhidmatan itu turut menyokong agenda keterangkuman kewangan terutama bagi komuniti luar bandar yang masih mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan perbankan. – KOSMO! ONLINE














