fbpx
Abang kepada mangsa wanita ketika ditemui selepas proses tahanan reman suspek.

Pukul isteri: ‘Saya datang ke mahkamah sebab nak tengok suspek’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Abang kepada wanita yang parah dipercayai dipukul suaminya meluahkan rasa syukur apabila suspek akhirnya ditahan pihak berkuasa dan dibawa ke mahkamah untuk proses reman hari ini.

Menurut lelaki berusia 45 tahun itu, dia bersama seorang adiknya hadir di Kompleks Mahkamah Sungai Petani di sin untuk melihat sendiri lelaki tersebut.

“Saya hadir hari ini sebab nak tengok suspek, nak tengok betulkah dia. Itu yang penting sebenarnya, bukan datang sebab emosi.

“Saya bersabar kerana Allah sudah menentukan semua ini. Saya serah siasatan kes ini kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani hari ini.

Katanya, adik perempuannya yang berusia 39 tahun yang ceder parah masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

“Adik memang trauma akibat kejadian itu, namun saya tengok keadaannya makin baik. Alhamdulillah ramai yang mendoakan supaya dia tabah dan lebih bersemangat,” ujarnya.

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Jamaluddin Ali Mohd. Jobran berkata, kecederaan yang dialami mangsa agak teruk apabila mengalami patah di beberapa bahagian badan  termasuk tulang rusuk dan pinggul.

Katanya, beliau dimaklumkan mangsa sendiri membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada Ahad lalu, manakala laporan pertama dibuat lebih awal oleh abang wanita berkenaan.

“Saya percaya siasatan ini dapat diteruskan dengan lebih menyeluruh kerana mangsa sendiri ada membuat laporan polis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semasa proses reman dibuat, pihak pendakwaan membangkitkan isu kematian janin dalam kandungan mangsa termasuk lokasi pengebumian.

Difahamkan, siasatan lanjut berhubung perkara itu akan dilakukan selepas ini. Jamaluddin turut meminta orang ramai supaya mendoakan mangsa agar diberikan kesembuhan dan pulih daripada trauma.

“Berhubung dakwaan yang berlegar-legar di media sosial, saya mohon supaya tidak berlebih-lebihan agar tidak mengganggu siasatan polis,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Majistret Mohamad Azlan Basri membenarkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang disyaki memukul isterinya sehingga parah dan keguguran di Ambangan Heights, di sini Khamis lalu direman tujuh hari bermula hari ini.

Siasatan ke atas suspek dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN