PETALING JAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan jalan paling ‘bersih’ untuk menyelesaikan kemelut di Negeri Sembilan ketika ini sekiranya ia gagal diselesaikan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini kerana Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, PRN dapat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin bagi mengemudi negeri itu.
Bagaimanapun katanya, sekiranya krisis tersebut boleh diselesaikan melalui sidang DUN, undi percaya, atau penstrukturan semula kerajaan dilihat lebih menjimatkan, cepat dan stabil.
“PRN adalah jalan yang ‘bersih’ dari segi legitimasi politik kerana mengembalikan mandat kepada rakyat, tetapi bukan semestinya jalan terbaik dalam semua keadaan.
“Malah, PRN patut menjadi pilihan terakhir apabila semua mekanisme perlembagaan dan politik gagal,”katanya kepada Kosmo!
Beliau berkata, berdasarkan senario politik di Negeri Sembilan ketika ini, krisis tersebut boleh berlarutan, tidak semestinya sampai pembubaran DUN secara automatik.
Jelasnya, dalam sistem berperlembagaan, krisis politik biasanya melalui beberapa fasa seperti ujian majoriti, rundingan politik, campur tangan institusi istana dan kemungkinan sidang khas.
“Jika pertikaian politik bertindan dengan isu legitimasi di peringkat Undang dan adat, tempohnya boleh panjang. Namun, lazimnya tekanan institusi akan mendorong penyelesaian sebelum DUN dibubar, kerana pembubaran adalah jalan terakhir, bukan pilihan pertama,”katanya.
Ditanya gabungan mana yang akan mendominasi sekiranya PRN diadakan, katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai peluang kerana parti itu adalah penyandang, namun tidak menolak pertandingan tiga penjuru.
“PH-BN masih ada kelebihan jentera, struktur kerajaan dan undi sederhana jika kerjasama kekal utuh. PN-BN (jika benar berlaku jajaran baharu) boleh mencabar serius, terutama jika undi Melayu bersatu.
“PN secara solo tetap faktor, tetapi bergantung kepada naratif bahawa mereka alternatif stabil, bukan sekadar memanfaatkan krisis. Buat masa ini, kelebihan tipis mungkin masih pada PH-BN kerana faktor penyandang, tetapi krisis ini boleh mengubah sentimen dengan cepat,”ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub turut menjangkakan krisis Negeri Sembilan akan berakhir dengan pembubaran DUN.
Ia berikutan pembentukan kerjasama kerajaan campuran BN-PN (Perikatan Nasional) tidak akan mendapat restu kepimpinan UMNO dan BN di peringkat Pusat. Malah katanya, pimpinan kerajaan perpaduan juga tidak akan membiarkan perkara ini berlaku.
“Pada masa sama, BN tidak akan kembali atau ‘u turn’ kepada PH untuk membentuk semula kerajaan negeri memandangkan isu besar melibatkan krisis adat dan kepimpinan negeri.
“Selain itu, amat mustahil PH akan bekerjasama dengan PN untuk membentuk kerajaan negeri memandangkan tiada bibit bibit ke arah itu,”katanya.
Tambah beliau, bagi meredakan sedikit kemelut terbabit, Aminuddin perlu meletakkan jawatan kerana beliau sudah hilang majoriti.
Namun katanya, beliau boleh meneruskan tugasnya sekiranya dititahkan untuk menjadi Menteri Besar kerajaan sementara (interim) sehingga mana mana gabungan parti mengumumkan mempunyai majoriti mudah secara rasmi.
Untuk rekod, gabungan PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas menang 31 daripada 36 kerusi DUN pada 2023.














