PENDANG – Seramai 1,182 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Mohamad Ariff dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang yang terjejas dalam kejadian ribut dibenarkan mengikuti pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).
Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rahim Mat berkata, sebanyak 11 sekolah di Kedah mengalami kerosakan ekoran bencana itu, namun hanya SK Haji Mohamad Ariff dibenarkan melaksanakan PdPR setakat ini.
“Hanya SK Haji Mohamad Ariff menjalani PdPR bermula hari ini melibatkan 600 murid kerana bangunan kelas teruk terjejas. Tempoh PdPR ini akan dinilai dari semasa ke semasa. Keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan,” katanya kepada pemberita di Akademi Sains Pendang, di sini hari ini.
Menurut beliau, zon paling kritikal di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pendang melibatkan enam sekolah iaitu SK Haji Mohamad Ariff, SK Paya Mengkuang, SK Paya Mak Insun, Akademi Sains Pendang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Puteh Dalam dan MRSM Pendang.
“Di PPD Kulim Bandar Baharu, sebanyak empat sekolah terjejas iaitu SK Dato’ Haji Zainudin, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ganesar, SMK Serdang dan SMK Lubuk Buntar, manakala SK Kangkong dalam PPD Kota Setar,” ujarnya.
Jelasnya, kerosakan melibatkan struktur bumbung yang diterbangkan angin, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kita akan mencari peruntukan kecemasan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan kadar segera,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara, Shahrizal Mohd. Saderi berkata, seramai 582 pelajar MRSM Pendang dibenarkan pulang ke rumah hari ini bagi menjalani PdPR, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Katanya, kerosakan melibatkan blok pentadbiran, blok akademik, asrama dan laluan pejalan kaki.
“Kita akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan segera supaya sesi PdP dapat berjalan semula dan MRSM Pendang dapat beroperasi seperti biasa.
“Kita juga akan menyalurkan peruntukan khas darurat kepada MRSM Pendang bagi menyelesaikan kerja-kerja ini sebanyak RM1.5 juta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














