SHAH ALAM – “Keluarga di kampung amat susah dan saya mencari rezeki di negara ini sejak lapan tahun lalu”.
Itu rayuan pemotong rumput warga Pakistan yang dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di selepas didapati bersalah mengedar kanabis seberat 1.4 kilogram (kg), enam tahun lalu.
Mahkamah memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Ali Sajjad, 34, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh hanya penafian semata-mata tanpa sebarang bukti kukuh bagi menafikan milikan, jagaan atau kawalan terhadap dadah tersebut.
“Jumlah dadah 1,404.3 gram adalah besar dan walaupun tertuduh mendakwa ia untuk kegunaan sendiri, namun pembelaan gagal menolak anggapan pengedaran di bawah Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Mahkamah turut mengambil kira bahawa dadah pada badan itu dengan dadah yang dijumpai di unit (kediaman) adalah jenis sama iaitu kanabis,” katanya.
Tambah Latifah, hanya tertuduh memberi keterangan dan beberapa rakannya yang tinggal bersama tidak dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan tiada kaitan dengan dadah tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Ali didakwa mengedar kanabis seberat 1,404.43 gram di sebuah premis di Seri Kembangan pada 4 Disember 2020. – KOSMO! ONLINE














