SEREMBAN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, telah memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, namun sehingga kini masih belum menerima titah.
Beliau berkata, pemakluman rasmi berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada pihak istana pada tengah hari semalam dan beliau bersedia untuk menghadap pada bila-bila masa bagi menjelaskan pendirian tersebut.
“Saya belum lagi dititah (untuk menghadap Tuanku) dan saya bersedia pada bila-bila masa untuk menghadap Tuanku (Tuanku Muhriz),” katanya dalam sidang media di sini.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut menjelaskan bahawa langkah tersebut bukan bertujuan menjatuhkan pemimpin melalui pendekatan politik biasa atau merebut jawatan Menteri Besar, sebaliknya demi memastikan pentadbiran kerajaan negeri kekal stabil dan berfungsi dengan baik.
“Ada yang mengatakan tindakan UMNO ini sebagai tindakan yang menyusahkan rakyat dan untuk merebut kuasa menjadi Menteri Besar, ini bukan matlamat kita. Saya sendiri sudah menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri.
“Kita bukan nak jadi Menteri Besar. Sesiapa pun boleh, Datuk Faizal boleh, Datuk Mustapha boleh,…. tetapi bukan soal itu. Keputusan ini dibuat oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk menentukan siapa yang akan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, bukan saya. Jadi ini bukan matlamatnya. Jangan salah faham.
“Keputusan ini kita ambil hanya untuk memastikan kestabilan serta urus tadbir kerajaan dapat dijalankan dalam keadaan yang baik, tersusun, lebih-lebih lagi yang melibatkan institusi adat dan perlembagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














