KUALA LUMPUR – Golongan mahasiswa bebas mengkritik kerajaan sama ada melalui saluran rasmi mahupun secara digital dalam memperjuangkan isu-isu mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan saluran rasmi tersedia untuk membawa isu berkait mahasiswa terus kepada pihak berkuasa.
Katanya, perubahan landskap aktivisme daripada bentuk tradisional kepada ruang maya seperti media sosial, forum dan TikTok adalah selari dengan perkembangan semasa, namun tidak menjejaskan hak pelajar untuk bersuara.
“Ini tidak menghalang mana-mana pihak untuk berhimpun atau berkumpulan. Maksudnya, bukan sahaja dalam bentuk tradisional, tetapi juga secara dalam talian.
“Namun, tiada halangan dikenakan. Kalau ingin mengkritik boleh, dan isu-isu yang dibangkitkan, apabila ada keputusan, kita akan jawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang penuntut Universiti UCSI pada Majlis Temu Anwar dan Peluncuran Pembinaan Bangunan Baharu Universiti UCSI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, golongan mahasiswa dan pelajar juga boleh menggunakan saluran sedia ada termasuk melalui surat rasmi atau pertemuan terus dengan pihak berkaitan bagi memastikan idea mereka dapat diterjemahkan dan dipertimbangkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, meskipun Malaysia kini menjadi tumpuan dengan lebih 160,000 pelajar asing, namun kejayaan itu tidak harus diukur semata-mata dari segi angka sebaliknya pada kemampuan melahirkan insan berilmu dan berakhlak.
“Kehadiran pelajar asing di Malaysia merupakan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN. Namun, tanggungjawab kita bukan sekadar menarik pelajar luar, tetapi memastikan universiti kita mempunyai mutu yang melayakkan mereka sebagai institusi pendidikan tinggi sebenar.
“Kita perlu berhati-hati supaya universiti tidak menjadi sekadar ‘kilang sijil’. Saya minta Kementerian Pendidikan Tinggi memantau dengan rapi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














