KUALA LUMPUR – Kecerdasan buatan (AI) bakal mengubah hampir setiap aspek kehidupan manusia sekali gus menuntut kesiapsiagaan negara dari segi dasar, bakat dan tadbir urus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, dunia kini berada di ambang perubahan besar apabila teknologi AI bukan sahaja mempengaruhi cara pengeluaran barangan dan sistem kewangan, malah turut memberi kesan terhadap proses membuat keputusan serta pemikiran manusia.
Katanya, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus teknologi baharu dan perlu bergerak pantas bagi memastikan negara terus relevan dalam ekonomi digital global.
“Kalau kita tidak mengejar teknologi dengan kepesatan dan kelajuan, kita akan ketinggalan. Namun pada masa sama, kita perlu pastikan ia tidak melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei di The Exchange 106, hari ini.
Tambahnya, pembangunan AI juga perlu dilaksanakan tanpa menghakis nilai kemanusiaan dan jati diri masyarakat.
“Bahaya yang perlu dielakkan adalah dehumanisasi manusia. Teknologi tidak boleh menghilangkan nilai kemanusiaan dan keinsanan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kemajuan AI turut membawa risiko keselamatan termasuk potensi mendedahkan kelemahan sistem teknologi sedia ada.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pembangunan teknologi tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak pembangun semata-mata tanpa kerangka tadbir urus yang jelas.
“Jendela untuk membina tadbir urus yang kukuh semakin sempit. Kita tidak boleh tunggu sehingga berlaku gangguan besar untuk bertindak,” katanya.
Mengulas mengenai kesan terhadap pekerjaan, beliau berkata AI berpotensi mengubah lebih banyak pekerjaan berbanding menggantikannya, sekali gus memberi cabaran besar kepada golongan muda dan pekerja peringkat awal.
Jelasnya, kerajaan sedang membangunkan respons termasuk memperkukuh dasar, latihan dan pembangunan bakat bagi menghadapi perubahan tersebut.
“Persoalannya bukan sama ada gangguan akan berlaku, tetapi sejauh mana kita bersedia apabila ia berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE














