REMBAU – Sebuah keluarga di Kampung Seberang Paya, Kota, di sini, mewarisi tinggalan berharga keluarga mereka berupa peti besi yang dipercayai wujud sejak tahun 1850.
Malah, menurut waris keluarga berkenaan, Alang Kamsiah Mohd. Shariff, 78, peti besi berkenaan dipercayai sudah lebih 100 tahun tidak dibuka berikutan kunci utamanya patah.
“Ini adalah sebahagian warisan keluarga kami di rumah yang kini sudah pun diangkat sebagai Rumah Warisan Hajjah Safiah Ebok dan Mohd Shariff Kulop oleh Kerajaan Negeri Sembilan lebih dua tahun lalu.
“Ikutkan, peti ini diperwariskan oleh Undang Luak Rembau ke – 17 (Dato’ Lela Maharaja Haji Sulung Bin Haji Miah – 1905-1922). Keturanan kami yang terdahulu. Banyak barang pusaka yang ditinggalkan.
“Selain tinggalan peti besi yang sangat berat ini disebabkan besi padu yang digunakan, kami turut memiliki beberapa meriam yang dihadiahkan oleh pelbagai individu di zaman berkenaan yang kini dipamerkan di halaman rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Kelihatan pada bahagian luar peti besi berkenaan tertera nama syarikat Thomas Robinson & Sons, yang berpangkalan di Bolton, England dengan tahun “Estabd 1850”.
Difahamkan, syarikat berkenaan merupakan antara pembuat peti besi terkemuka di England pada abad ke-19 dan awal ke-20.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd Gorip berkata, pihaknya telah menyenaraikan lebih 50 rumah warisan di sekitar negeri ini dari segi inventori dan daripada segi baik pulih, beberapa kediaman sudah menerima bantuan berkenaan.
Menurutnya, antara kediaman yang dibaik pulih tersebut termasuklah Rumah Warisan Alang Khamsiah pada tahun 2023 di Kampung Seberang Paya, Rembau dan beberapa lagi seperti Rumah Warisan Norlida di Kuala Pilah dan Rumah Warisan Jalilah di Jelebu.














