SEREMBAN – Lebih 50 orang berhimpun di hadapan Istana Hinggap dan Wisma Negeri di sini hari ini bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Kumpulan Sekretariat Sokongan dan Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Menteri Besar itu berkumpul di Istana Hinggap sejak pukul 8.45 pagi dan memegang sepanduk warna kuning menyatakan sokongan kepada tuanku dan kerajaan negeri.
Ketua sekretariat, Profesor Dr. Mohd. Aluwi Sari berkata, kumpulan itu turut disertai anak waris, ibu soko, buapak, lembaga dari semua luak di negeri ini. Penyerahan memorandum tersebut diserahkan oleh Mohd. Aluwi Sari kepada wakil Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tunku Kecil Muda, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, manakala memorandum kepada Menteri Besar diserahkan kepada Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Shahir Mohd. Shah.
Mohd. Aluwi berkata, memorandum itu adalah untuk menyatakan sokongan dan taat setia rakyat Negeri Sembilan serta anak waris Luak Sungei Ujong, Luak Jelebu, Luak Johol, Luak Rembau dan luak di bawah Tanah Mengandung.
Sebelum ini media melaporkan, Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.
Krisis di Negeri Sembilan berlaku apabila Undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong pula didakwa sudah dipecat. – KOSMO! ONLINE














