BANGI – Kerajaan komited mengubah persepsi terhadap pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada sekadar bekas tentera kepada modal insan negara yang produktif dan mampu menyumbang kepada ekonomi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha kini sedang giat dijalankan bagi memastikan veteran mempunyai masa depan yang lebih terjamin dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kebajikan semata-mata.
“Kita mahu beralih daripada melihat veteran sebagai bekas kepada modal pesat negara yang masih bertenaga dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kalau kita lihat tuan-tuan hanya sebagai persara, hakikatnya ramai lagi yang mempunyai keluarga yang sedang membangun dan anak-anak yang masih bersekolah,” katanya di Majlis Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Bangi Avenue Convention Centre, hari ini.
Tambahnya, rata-rata anggota tentera biasanya menamatkan perkhidmatan pada usia seawal 39 atau 40 tahun, yang mana mereka sebenarnya masih mempunyai tempoh produktif yang panjang.
Jumlah pencen yang diterima mungkin tidak memadai untuk memastikan kelangsungan hidup yang bermaruah dalam mendepani cabaran kos sara hidup semasa.
“Mereka perlu mempunyai kesedaran untuk terus bekerja bagi menambah pendapatan sedia ada demi kesejahteraan keluarga kerana mereka ini boleh terdedah kepada kesusahan dan kemiskinan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














