SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneroka kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bagi memperkenalkan penyaluran bantuan bencana khususnya kebakaran kepada golongan asnaf.
Exco Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, setakat ini mekanisme sedia ada masih digunakan dalam pengurusan bantuan mangsa terjejas.
Bagaimanapun, katanya, penyelarasan bersama Zakat Selangor berpotensi menambah keberkesanan agihan bantuan lebih cepat dan tepat.
“Kita hargai cadangan itu dan kita rasakan sesuai berbincang dengan Zakat Selangor bagi menyelaraskan bantuan berkaitan bencana khususnya kebakaran ini untuk kita beri sedikit kelebihan kepada asnaf-asnaf memandangkan mereka daripada golongan kurang berkemampuan.
“Walau bagaimanapun, saya bawa perkara ini untuk perbincangan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan teroka kerjasama zakat Selangor bagi kenal pasti mengenainya,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Noorazley Yahya (PN – Bukit Melawati) sama ada terdapat mempertimbang pelaksanaan one-off tanpa mengira latar belakang
asnaf.
Mohd. Najwan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, kadar bantuan kepada mangsa kebakaran yang musnah keseluruhan adalah sebanyak RM500 manakala musnah sebahagian berjumlah RM200 berdasarkan kadar dan kaedah di dalam ketetapan Surat Ikatan Amanah Tabung Bencana Khas Negeri Selangor yang berkuatkuasa mulai 9 Februari 2023.
Tambahnya, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut menyampaikan bantuan tambahan wang tunai sebanyak RM300 kepada mangsa beragama Islam.
“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor turut memainkan peranan penting dengan menyalurkan bantuan keperluan asas seperti toto, selimut dan makanan kering bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya. -KOSMO!ONLINE














