SHAH ALAM – Perkhidmatan Bas Smart Selangor bakal dipacu tenaga hidrogen selewat-lewatnya hujung tahun ini, sekali gus memperhebat peralihan kepada tenaga bersih dalam sistem pengangkutan awam negeri.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, hidrogen dikenal pasti sebagai antara sumber tenaga bersih berpotensi menggantikan diesel atau bahan api fosil.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah melantik Worldwide Holdings Berhad bagi menerajui inisiatif tersebut termasuk membangunkan kemudahan hidrogen untuk penghasilan bahan api berkenaan.
“Hidrogen ini akan digunakan dalam inisiatif bas Smart Selangor. Jika ekosistem melibatkan electrolyser dan stesen pengisian hidrogen siap tahun ini, kita boleh melihat pelaksanaan bas hidrogen Selangor menjelang hujung 2026,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Pang Sock Tao (PH – Kuala Kubu Baharu) sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan dalam menggunakan teknologi hidrogen sebagai sumber hijau dalam perkhidmatan Smart Bas Selangor.
Beliau menjelaskan, pembangunan teknologi itu memerlukan perancangan rapi memandangkan kos penghasilan hidrogen yang masih tinggi ketika ini.
“Justeru, setiap inisiatif dan projek perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar sebaik sahaja kemudahan electrolyser dan stesen pengisian siap dibangunkan,” katanya.
Dalam pada itu, Sze Han yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara memaklumkan kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil inisiatif untuk menjadikan pemasangan rangkaian infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) sebagai salah satu syarat bagi pembangunan baharu semasa permohonan Kebenaran Merancang.
“Selain itu, semakan bersama PBT Selangor merekodkan jumlah terkini stesen pengecasan EV yang telah siap dan beroperasi di Selangor adalah sebanyak 1,090 unit,” katanya. -KOSMO!ONLINE














