KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berdepan cabaran keusangan aset yang memberi kesan kepada keupayaan tempur serta aspek penyelenggaraan, sekali gus menuntut kesiapsiagaan angkatan terus diperkasa.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain berkata, TLDM kini berkembang daripada angkatan berasaskan aset sederhana kepada kekuatan maritim setaraf negara maju khususnya di Asia Tenggara.
Menurut beliau, perubahan landskap dunia yang semakin pesat menuntut komitmen berterusan agar TLDM kekal relevan, berupaya menyesuaikan diri dengan ancaman semasa dan tidak ketinggalan.
“Persekitaran geo-strategik dan politik global kini semakin kompleks, tidak menentu serta dinamik. Krisis seperti perang Rusia-Ukraine, ketegangan di Selat Hormuz serta konflik di Laut China Selatan menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Panglima Tentera Laut yang dibacakan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Muhamad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak di sini hari ini.
Tambahnya, tuntutan operasi yang tinggi selain penglibatan dalam eksesais berskala besar turut memberi tekanan terhadap perancangan atur gerak aset, terutama dalam memastikan kesiagaan armada sentiasa berada pada tahap optimum.
Sehubungan itu, katanya, empat teras utama yang digariskan Panglima Tentera Laut akan terus dilaksanakan secara holistik bagi mendepani cabaran semasa.
Kata beliau, empat teras berkenaan meliputi memastikan kesiagaan armada sebagai fokus utama, memperkasa pelan transformasi TLDM 15to5, mengukuhkan integrasi serta sinergi antara angkatan, selain memperkasa pengurusan sumber manusia.
“Keempat-empat teras ini berteraskan kesiagaan sebagai keutamaan, kerana hanya dengan kesiagaan tinggi TLDM mampu melaksanakan peranan mempertahankan kedaulatan perairan negara tanpa kompromi,” KOSMO! ONLINE














