SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengecam tindakan provokasi pihak yang memuat naik hantaran media sosial berunsur menghina Institusi Diraja negeri ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han berkata, perbuatan menyunting imej haiwan dengan pakaian istiadat istana disifatkan pencerobohan terhadap tatasusila dan norma masyarakat.
“Menyamakan manusia dengan sifat binatang bukan saja tidak beradab dan melanggar norma rakyat, malah mampu mendatangkan kacau bilau di negara berbilang bangsa ini,” katanya hari ini.
Tambah Sze Han, beliau menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.
“Ini bagi memastikan pelaku terlibat dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan perkataan atau gambaran menghina dan menjatuhkan maruah mana-mana pihak yang boleh memecahbelahkan perpaduan serta keharmonian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














