BAGI pelajar terdapat pelbagai laluan pengajian telah disediakan oleh kerajaan, termasuk mengikuti Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Sebenarnya, ilmu TVET boleh didalami secara formal atau tidak formal. Bagi laluan formal, pelajar boleh mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan di pelbagai institusi pengajian.
Manakala secara tidak formal, ia boleh diperolehi melalui pengalaman kerja dalam bidang kemahiran TVET.
Muhammad Akmal Mahadi merupakan salah seorang anak muda yang memilih untuk mendalami bidang TVET secara tidak formal.
Remaja berusia 24 tahun itu memilih bekerja di sebuah kedai cetakan baju selepas tamat SPM, dengan bermula sebagai pekerja di bahagian sulaman logo.
“Saya bekerja hampir tiga tahun mencari pengalaman. Pelbagai perkara saya belajar termasuk cara untuk mencari jualan dan bagaimana menghasilkan cetakan baju terbaik.
“Selepas tiga tahun bekerja dan mendalami kemahiran menghasilkan baju, saya memberanikan diri untuk berhenti kerja bagi mengusahakan perniagaan sendiri,” ujar lelaki berasal dari Alor Setar, Kedah itu.
Berbekalkan kemahiran dan pengalaman bekerja sebelum ini serta keberanian mengambil risiko, pemuda yang mesra disapa Akmal itu kini boleh berbangga apabila berjaya mengusahakan perniagaan cetakan baju di bawah jenama Aspro.
Perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu itu menawarkan perkhidmatan seperti cetakan baju, menghasilkan ‘lanyard’ dan pingat.

Menurut Akmal, pada peringkat awal, dia mengusahakan perniagaan tersebut secara kecil-kecilan dari rumah dengan menggunakan mesin cetak yang dibeli hasil wang simpanan.
“Tanpa sebarang pinjaman atau bantuan kewangan, semua modal perniagaan saya hasil daripada wang simpanan yang disimpan sedikit demi sedikit,” ujarnya.
Akmal memaklumkan, sambutan yang diterima daripada pelanggan cukup baik sehingga membolehkannya mengembangkan perniagaan tersebut.
“Kini, saya mempunyai sekitar 30 orang pekerja dan dua buah kilang iaitu di Alor Setar dan Ipoh, Perak.
“Untuk kilang di Alor Setar, saya fokus untuk tempahan di sebelah Utara, manakala bagi kilang di Ipoh fokus untuk sebelah Selatan,” jelasnya.
Ketika ini, perniagaannya menerima tempahan dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Akmal memaklumkan, antara keunikan perniagaannya adalah fleksibiliti perkhidmatan yang ditawarkan.
“Pelanggan boleh membuat tempahan tanpa minimum order, malah jika mereka hanya menempah sehelai baju juga kami terima.
“Selain itu, kami juga menawarkan perkhidmatan percuma untuk rekaan baju, nama dan nombor yang ingin dihasilkan pada baju,” terangnya.
Dalam industri yang penuh persaingan, Akmal memilih untuk sentiasa mengekalkan kualiti sebagai kelebihan utama.
Dia sentiasa mengutamakan kualiti kain, kekemasan produk dihasilkan dan menawarkannya pada harga berpatutan.
Sementara itu, mengulas mengenai TVET, Akmal percaya bahawa bidang kemahiran mampu menjadi jalan alternatif kepada kejayaan, khususnya bagi anak muda yang kurang cemerlang dalam akademik.
“Jika seseorang itu minat untuk belajar, sila teruskan. Namun jika tidak berminat, anda boleh dalami bidang kemahiran secara formal atau tidak formal.
“Saya sendiri belajar kemahiran secara tidak formal melalui pengalaman bekerja dengan orang terlebih dulu,” ujarnya.
Tambahnya, dia sendiri tidak menyangka mampu mencapai tahap sekarang, biarpun bermula sebagai pekerja biasa dalam bidang cetakan baju.














