fbpx
Ramanan (tengah) meninjau reruai di Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

MyFutureJobs: 200,000 penempatan, tawaran gaji cecah RM16,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 200,000 penempatan pekerjaan disasarkan tahun ini menerusi siri jelajah Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 di seluruh negara anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan ini meliputi pelbagai sektor dengan gaji permulaan antara RM3,000 hingga RM16,000 sebulan.

Katanya, untuk Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pihaknya menyasarkan lebih 10,000 pencari kerja.
“Saya rasa ini adalah peluang terbaik terutama dalam keadaan ekonomi sekarang ini. Banyak peluang pekerjaan disediakan daripada syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

“Terdapat juga syarikat menawarkan pakej imbuhan yang kompetitif serta pengiktirafan kepada yang telah ditawar pekerjaan. Ini tidak tumpu di Semenanjung sahaja, tapi turut melibatkan Borneo,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, sektor pembuatan dan perkhidmatan antara yang mencatat permintaan tertinggi, selain bidang kejuruteraan, perbankan serta kejururawatan yang terus menjadi tumpuan pencari kerja.

“30 peratus meliputi sektor perkhidmatan. Ada yang dapat peluang pekerjaan dalam nursing (kejrurawatan), ada dalam kejuteraan, ada juga yang tadi kita lihat daripada sektor bank,” katanya.

Sementara itu, Perkeso dalam kenyataan memaklumkan, seramai 799 individu telah berjaya memperoleh pekerjaan sepanjang karnival kerjaya premium berlangsung sempena sambutan Hari Pekerja 2026.

Jelas Perkeso, daripada jumlah tersebut, beberapa orang telah berjaya ditempatkan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti KPJ Healthcare, APPAR Technologies, UOS Group dan Habib Group.

Mengulas mengenai 5,900 rakyat Malaysia diberhentikan kerja pada Mac lalu, Ramanan berkata, Kesuma akan melancarkan satu siri inisiatif sokongan krisis bersasar bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada tekanan geopolitik semasa.

“Beberapa inisiatif sokongan krisis yang komprehensif akan diumumkan sempena Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei bertujuan meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja melalui intervensi yang lebih dinamik, termasuklah penambahbaikan kepada Akta 800 (Akta Sistem Insurans Pekerjaan) sedia ada.

“Penambahbaikan ini dijangka akan memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada pekerja, merangkumi aspek perlindungan sosial serta akses yang lebih mudah kepada program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling),” katanya.

Terdahulu, kajian oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB) mendedahkan Selangor menyumbang 29.3 peratus daripada jumlah kes kehilangan pekerjaan Mac lalu, diikuti Kuala Lumpur dengan 25.6 peratus melibatkan terutamanya sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN