fbpx
DATUK Azizulhasni Awang mara ke pusingan pertama acara pecut individu lelaki di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, hari ini. ISKANDAR ISHAK

Azizulhasni, Shah Firdaus mara ke pusingan pertama pecut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meneruskan momentum cemerlang apabila mara ke pusingan pertama acara pecut individu selepas mencatat masa ketiga terpantas pada sesi kelayakan Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional Malaysia, hari ini.

Pelumba berusia 38 tahun itu merekodkan masa 9.601 saat (s) untuk berada di belakang juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen yang muncul terpantas dengan catatan 9.414s, manakala Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago di kedudukan kedua menerusi catatan masa 9.464s.

Lebih membanggakan, Azizulhasni turut memperbaiki catatan masa dilakukannya pada pusingan pertama Perth, Australia sebelum ini apabila mencatat 9.702s, sekali gus menunjukkan peningkatan positif di laman sendiri.

Prestasi konsisten Azizulhasni itu hadir kurang 24 jam selepas dia mencipta sensasi menjuarai acara keirin untuk meraih emas kedua musim ini di hadapan penyokong sendiri.

Turut mencuri perhatian apabila seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan lutut berjaya melangkah ke pusingan pertama selepas menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-25 dengan masa 9.895s.

Catatan tersebut sekali gus membolehkan Shah Firdaus mara ke pusingan seterusnya memandangkan hanya 28 pelumba terbaik yang layak ke pusingan pertama acara pecut individu.

Sementara itu, dua pelumba wanita negara, Nur Alyssa Mohd. Farid dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri turut cemerlang apabila kedua-dua mereka berjaya melangkah ke pusingan dua acara keirin. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN