KUALA PILAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan reman seorang pempengaruh agama media sosial yang terkait salah guna kuasa dan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai jutaan ringgit akan disambung esok.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan siasatan lanjut yang dilaksanakan pihaknya, nilai penyelewengan yang sebelum ini sekitar RM12 juta kini mencecah sebanyak RM18 juta.
“Bagi kes NGO menyalahgunakan wang, dana sumbangan daripada orang ramai ini lebih RM18 juta telah kita sita daripada (dalam bentuk) wang tunai dan juga akaun-akaun telah dibekukan.
“Setakat ini, 15 saksi telah dirakam percakapan dan saya jangka lebih kurang 14 ke 15 saksi lagi kita akan panggil untuk bantu siasatan. Kita memerlukan lagi masa untuk mengesan dokumen dan juga saksi-saksi yang berkaitan untuk kita selesaikan di peringkat siasatan awal.
“Selain kita membuka kertas siasatan untuk melihat kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, kita juga melihat kesalahan di bawah Seksyen 403 iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang sempena Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut hadir menyempurnakan penyerahan masjid berkenaan.
Ujar Azam lagi, pihaknya juga turut membuka siasatan membabitkan kes pengubahan wang haram bagi kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE














