GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan baharu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman adalah bersesuaian dengan latar belakang kehakimannya.
Menurut Anuar, beliau yakin kepimpinan Abdul Halim dapat meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan itu selama tempoh dua tahun.
“Pertama, kita nyatakan penghargaan kepada Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki yang selama ini malankan tugas dengan sebaik mungkin dan sekarang giliran KP yang baharu. Beliau (Abdul Halim) dari badan kehakiman dan tidak terlibat dalam apa-apa perniagaan besar dan bukan mana-mana parti politik.
“Jadi, saya fikir beliau sesuai menakhodai SPRM dan terus meningkatkan keupayaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang di Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, pelantikan Abdul Halim turut diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selama tempoh dua tahun.
Terdahulu, media melaporkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei ini. – KOSMO! ONLINE














