KOTA BHARU – Sebanyak 70 peratus penagih dadah di negara ini dikesan menyalahgunakan dadah sintetik dengan kebanyakannya terdiri daripada kes melibatkan cecair rokok elektronik atau vape.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, peningkatan itu selari dengan perubahan kaedah untuk menagih dadah yang menggunakan vape sebagai medium baharu.
“Trend itu sangat membimbangkan kerana bahan terlarang dicampurkan ke dalam cecair vape sekali gus menyukarkan kita untuk mengesan penagih dadah yang terlibat.
“Dadah jenis magic mushroom dan ketamin merupakan antara bahan sintetik yang dikenal pasti menjadi pilihan penagih. Penggunaan dadah sintetik itu sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penyalahgunaan bahan tersebut khususnya dalam kalangan golongan muda,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Sua Mesra AADK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini hari ini.
Rusli memberitahu, kesemua bahan itu mempunyai kesan berbeza dan berisiko tinggi terhadap kesihatan termasuk keselamatan pengguna.
Menurutnya, AADK mengambil pendekatan proaktif termasuk memperkukuh strategi rawatan, pencegahan dan pemantauan trend semasa bagi mengekang penularan bahan berbahaya tersebut.
“Satu kajian menyeluruh sedang dilaksanakan bagi menggubal dasar baharu berkaitan dadah di negara ini. Kita sedang dalam peringkat kajian dengan kerjasama pihak universiti bagi merangka Dasar Dadah Negara yang lebih komprehensif dan relevan dengan situasi semasa.
“Hala tuju baharu itu dijangka dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun ini sebagai panduan perancangan lima tahun akan datang. Ia merangkumi pendekatan program, strategi kerajaan dan penyesuaian terhadap trend global dadah yang semakin kompleks,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang rekod rasmi melibatkan penagih dadah jenis fentanyl mendapatkan rawatan di pusat pemulihan di seluruh negara.
Katanya, meskipun belum ada kes direkodkan, AADK tidak memandang ringan ancaman dadah sintetik berbahaya itu. – KOSMO! ONLINE














