GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan keupayaan, profesionalisme dan ketegasan dalam melaksanakan tugas yang dipikul.
Beliau berkata, sebagai agensi yang dipantau secara langsung oleh masyarakat terutama di media sosial ini seharusnya menerima segala tohmahan dengan positif dan sedaya upaya melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
“Saya akan terus memberi dorongan kepada semua (warga JPJ) dan mudah-mudahan JPJ berkembang maju, matang dan menjadi sebagai salah satu jabatan yang mempelopori perubahan ini sekali gus menerima beberapa kelemahan yang ada untuk diperbaiki.
“JPJ merupakan agensi yang berdepan terus atau jabatan dengan rakyat, maka semua tindakan dan kerenah itu diketahui oleh rakyat.
“Kadang-kadang kalau tegas, kita tidak disenangi oleh rakyat. Kalau lembik dan tolak ansur, ditekan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Jadi, saudara dalam keadaan dipantau langsung, jadikan ia ujian pada kita dan terima ini dengan cara positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Ulang Tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-80 & Karnival Mega JPJ Madani 2026 di Batu Kawan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan kepentingan pendigitalan dalam penyampaian sistem perkhidmatan bagi mengurangkan tohmahan yang dilemparkan.
“Kalau pengalaman dalam hidup saya dari semasa mula ada motosikal, kereta dan seluruh kontroversi kritikan terhadap JPJ, saya harus akui, timbang kedudukan puluhan tahun yang lalu, imej JPJ jauh lebih baik sekarang,” tambahnya.
Pada majlis yang sama, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dilantik sebagai Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ selaras usaha memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.
Pelantikan penyanyi tersohor itu dibuat berdasarkan kredibiliti, pengaruh serta penerimaan meluas dalam kalangan rakyat yang diyakini mampu menyampaikan mesej kesedaran keselamatan jalan raya secara lebih berkesan dan menyeluruh. -KOSMO! ONLINE














