fbpx
PENGGUNA sering melihat rupa fizikal sayur bagi menilai keselamatan makanan yang mereka pilih. – GAMBAR HIASAN

Belum tentu sayur dimakan ulat selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Isu residu racun perosak dalam sayur-sayuran tempatan kembali menimbulkan persoalan besar tentang tahap keselamatan makanan yang sampai ke meja pengguna, khususnya melibatkan bekalan sayur dari kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands

Pada masa sama, tekanan terhadap pengeluaran hasil pertanian yang tinggi dan konsisten dilihat menjadi antara faktor yang mendorong penggunaan racun perosak secara lebih intensif di peringkat ladang.

Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan awam, malah turut menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian tanah pertanian, sumber air dan keseluruhan ekosistem pertanian negara.

Bagi pengguna pula, pilihan untuk mendapatkan sayur yang dianggap lebih selamat sering kali berdepan dilema, terutama apabila sayur organik dijual pada harga 20 hingga 100 peratus lebih mahal berbanding sayur konvensional.

Wartawan Kosmo! Ahad, Nurul Izzati Zaini menemu bual Timbalan Pengarah Pengembangan Pertanian) Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga pensyarah di Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Prof. Dr. Norsida Man di pejabatnya baru-baru ini bagi mengupas isu tersebut.

KOSMO! AHAD: Sejauh mana serius kandungan residu racun perosak yang tinggi dalam sayur-sayuran, khususnya yang dikaitkan dengan Cameron Highlands?

NORSIDA: Isu kandungan residu racun perosak dalam sayur-sayuran di Malaysia khususnya di Cameron Highlands merupakan satu isu serius dan berprofil tinggi dalam konteks keselamatan makanan.

Kawasan tersebut me­nyumbang kira-kira 40 peratus pengeluaran sayur tanah tinggi negara, menjadikannya sangat penting dalam rantaian bekalan makanan. Namun, tekanan pengeluaran sepanjang tahun telah menyebabkan penggunaan racun perosak secara intensif.

Kajian tempatan menunjukkan sekitar 10 hingga 30 peratus sampel sayur pernah melebihi Had Residu Maksimum (MRL), manakala analisis saintifik mengesan kehadiran residu racun pada tahap ng/g (parts per billion). Sebagai contoh, racun jenis organophosphate dilaporkan mencapai sehingga 200 ng/g, manakala organochlorine sehingga 133.3 ng/g. Selain itu, kajian lain turut mengenal pasti sekurang-kurangnya 15 jenis racun perosak dalam sayur seperti kubis, bayam dan brokoli.

Apakah faktor utama yang menyebabkan penggunaan racun serangga atau racun perosak secara berlebihan di kawasan pertanian sayur?
Penggunaan racun perosak secara berlebihan dalam sektor pertanian sayur didorong oleh gabungan dari beberapa faktor iaitu faktor ekonomi, teknikal dan pengetahuan. Dari sudut ekonomi, petani berdepan tekanan untuk menghasilkan hasil tinggi dan konsisten bagi memenuhi permintaan pasaran.

Bagaimanapun, dalam kea­daan tanpa kawalan, serangan perosak boleh menyebabkan kerugian hasil sehingga 30 hingga 50 peratus, sekali gus mendorong penggunaan racun secara kerap oleh petani.

Keadaan iklim tanah tinggi yang lembap turut mempercepat pembiakan perosak dan penyakit tanaman.

Pada masa sama, kekurangan latihan teknikal menyebabkan sesetengah petani tidak memahami dos optimum, masa semburan dan tempoh pratuai.

Persaingan pasaran yang menuntut sayur berkualiti tinggi tanpa kecacatan serta akses mudah kepada racun perosak tanpa pemantauan ketat oleh pihak tertentu memburukkan lagi keadaan.

Melalui kajian yang dilakukan di Cameron Highlands juga telah mengesan pencemaran racun perosak dalam alam sekitar, termasuk kehadiran sembilan jenis racun organoklorin dalam air dengan kepekatan sehingga 0.955 µg/L.

Residu turut ditemui dalam tanah, air larian dan sedimen ladang, menunjukkan penggunaan berlebihan bukan sahaja menjejaskan tanaman, tetapi keseluruhan ekosistem pertanian.

NORSIDA berkata, tanggapan bahawa sayur dimakan ulat atau mempunyai kesan serangga lebih selamat kurang tepat dari sudut saintifik. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Bagaimana untuk kenal pasti sayur yang lebih selamat untuk dimakan di pasaran?
Pengguna sering bergantung kepada rupa fizikal sayur bagi menilai keselamatan makanan mereka pilih, namun pendekatan ini juga boleh mengelirukan.

Hakikatnya, sayur yang kelihatan cantik tidak semestinya me­ngandungi residu racun yang tinggi, manakala sayur yang sedikit cacat juga tidak semestinya bebas bahan kimia.

Pendekatan yang lebih tepat ialah memilih produk yang mempunyai pensijilan seperti MyGAP, yang menunjukkan kadar pematuhan keselamatan makanan melebihi 90 peratus. Selain itu, pengguna digalakkan membeli daripada pembekal yang dipercayai serta mengamalkan kepelbagaian dalam pemakanan bagi mengurangkan pendedahan kepada jenis racun tertentu.

Perkara seperti ini yang meremehkan pengguna menyebabkan mereka mengabaikan keperluan untuk melihat siapa yang menjual dan adakah sa­yuran dan makanan itu ada sijil atau tidak.

Apa yang mereka pertimbangkan kecantikan luaran produk, harga, kuantiti dan terus membeli tanpa mempertimbangkan perkara lain.

Benarkah sayur yang dimakan ulat atau mempunyai sedikit kesan serangga lebih selamat berbanding sayur yang kelihatan sempurna?
Tanggapan sayur dimakan ulat atau mempunyai ke­san serangga lebih selamat kurang tepat dari sudut saintifik. Keha­diran lubang hanya menunjukkan aktiviti serangga, tetapi tidak menjamin ketiadaan racun.

Ini kerana lebih 30 hingga 40 peratus racun moden bersifat sistemik, iaitu diserap ke dalam tisu tumbuhan dan tidak dapat dilihat dari luar.

Selain itu, ulat juga boleh muncul selepas tempoh semburan tera­khir, menjadikan kehadirannya bukan indikator boleh dipercayai. Oleh itu, ciri fizikal seperti ini hanya menjadi petunjuk kasar dan tidak boleh dijadikan bukti ia selamat untuk dimakan.

Dari sudut kesihatan awam, apakah risiko jangka pendek dan jangka panjang kepada pengguna jika kerap mengambil sayur yang mempunyai residu racun perosak melebihi had selamat?
Kesan pengambilan residu racun perosak bergantung kepada tahap dan tempoh pendedahan. Dalam jangka pendek, pengguna mungkin mengalami simptom seperti loya, sakit kepala dan iritasi. Namun, kesan jangka panjang lebih membimbangkan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 385 juta kes keracunan racun perosak tidak disengajakan berlaku setiap tahun di seluruh dunia. Pendedahan kronik dikaitkan dengan peningkatan risiko kan­ser seperti leukemia dan limfoma, gangguan hormon, masalah kesuburan serta kesan neurologi.

Kajian menunjukkan racun perosak boleh terkumpul dalam tumbuhan melalui tanah dan air, dengan hubungan signifikan antara kandungan racun dalam tanah dan sayur. Ini membuktikan residu tidak hanya berada di permukaan dan tidak boleh dihapuskan sepenuhnya melalui cucian biasa.

Apakah kesan jangka panjang penggunaan racun perosak secara berlebihan terhadap ta­nah pertanian?
Ia memberi kesan jangka panjang serius terhadap alam sekitar, boleh menyebabkan kemerosotan kesuburan tanah dengan mengurangkan populasi mikroorganisma yang penting untuk kesihatan tanah hingga 50 hingga 70 peratus.

Selain itu, ketidakseimbangan ekosistem berlaku apabila serangga bermanfaat turut terjejas. Pencemaran sumber air melalui aliran permukaan serta peningkatan rintangan perosak yang kini melibatkan lebih 500 spesies serangga di seluruh dunia menjadikan racun semakin kurang berkesan.

Dalam jangka panjang, petani terpaksa menggunakan lebih banyak racun untuk mengekalkan hasil, sekali gus mewujudkan kitaran tidak lestari dalam sistem pertanian.

Sekiranya isu ini berlarutan hingga menjejaskan keyakinan pasaran atau menyebabkan eksport sayur, termasuk ke Singapura ditolak, apakah implikasi kepada ekonomi setempat dan negara?
Sekiranya isu ini menjejaskan eksport, implikasinya kepada ekonomi adalah besar. Negara seperti Singapura mengimport kira-kira 90 peratus bekalan makanan dan Malaysia antara pembekal utama sayur segar.

Penolakan eksport akibat kegagalan mematuhi standard keselamatan makanan boleh menyebabkan kerugian berjuta ringgit setahun.

Selain itu, lebihan bekalan dalam pasaran tempatan boleh menyebabkan harga jatuh sehingga 20 hingga 40 peratus, sekali gus menjejaskan pendapatan petani. Reputasi industri pertanian negara boleh terjejas, pemulihan kepercayaan dalam perdagangan antarabangsa memerlukan masa yang panjang.

Apakah punca harga sa­yur organik lebih tinggi dan adakah ia benar-benar pilihan terbaik untuk pengguna?
Sayur organik lazimnya le­bih mahal, harga boleh meningkat antara 20 hingga 100 peratus berbanding sayur konvensional. Ini disebabkan oleh kos pengeluaran lebih tinggi, produktiviti yang lebih rendah serta proses pensijilan yang ketat.

Hasil pertanian organik biasanya 20 hingga 30 peratus lebih rendah. Walaupun sayur organik mempunyai risiko residu racun yang lebih rendah, kandungan nutrisinya tidak semestinya jauh berbeza. Oleh itu, ia merupakan pilihan yang baik tetapi bukan satu-satunya cara untuk memastikan pemakanan selamat.

Apakah pilihan lain yang lebih praktikal dan mampu milik untuk pengguna yang mahu mengurangkan risiko pendedahan kepada residu racun?
Selain memilih sayur organik, pengguna boleh mengurangkan pendedahan kepada residu racun melalui langkah praktikal.

Banyak kaedah ringkas dicadangkan termasuk membasuh sayur di bawah air mengalir, merendam dengan air garam atau larutan cuka, mengupas kulit serta memasak sebelum dimakan.

Di Malaysia, had residu maksimum (MRL) ditetapkan bagi ratusan jenis racun perosak dan pemantauan keselamatan makanan dijalankan secara berkala.

Skim seperti MyGAP juga membantu meningkatkan pematuhan amalan pertanian baik sehingga melebihi 90 peratus dalam ladang berdaftar. Walaupun langkah ini tidak menghapuskan residu sepenuhnya, ia mampu mengurangkan risiko secara signifikan.

Apakah peranan pihak berkuasa dalam membendung penggunaan racun serangga secara berlebihan?
Pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pertanian memainkan peranan penting dalam membendung penggunaan racun pe­rosak secara berlebihan.

Ini termasuk penguatkuasaan had residu, pemantauan ladang dan pasaran serta pensijilan amalan pertanian baik. Malaysia telah menetapkan MRL bagi ratusan jenis racun perosak dan me­laksanakan program pemantauan secara berkala.

Namun, penambahbaikan masih diperlukan seperti penguatkuasaan lebih tegas, latihan berterusan kepada petani, penggunaan teknologi moden serta pemberian insentif untuk amalan pertanian lestari.

Secara keseluruhan, isu residu racun perosak melibatkan aspek kesihatan awam, alam sekitar dan ekonomi negara.
Penyelesaiannya memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak daripada pengeluar hingga pengguna bagi memastikan sistem makanan yang selamat dan mapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN