fbpx
RODRI hampir pasti terlepas aksi kali ini apabila masih belum pulih daripada masalah kecederaan. - AFP

Piala FA: Isu kecergasan resahkan Guardiola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berada dalam dilema menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang Southampton yang dijadualkan berlangsung di Wembley awal pagi esok.

Keadaan itu disebabkan pemain-pemain The Citizens berada dalam kondisi kurang cergas selepas mengharungi jadual padat sepanjang minggu ini, termasuk dua aksi penting menentang Arsenal dan Burnley.

Selepas berjaya memintas kedudukan Arsenal sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), City kini perlu mengalihkan sepenuh fokus ke arah aksi menentang Southampton sekiranya mahu melangkah ke final Piala FA.

Bagaimanapun, Guardiola perlu membuat keputusan terbaik berhubung kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketika bertemu The Saints nanti kerana mereka juga tidak boleh tercicir mata dalam saingan Liga Perdana.

“Sekarang kami perlu fikir sebelum membuat keputusan mengenai senarai pemain untuk aksi di Wembley nanti kerana saya sebenarnya sudah ragu dengan kesebelasan utama ketika bertemu Burnley gara-gara pemain kepenatan.

“Sebelum ini kami tidak ada sebarang masalah kerana hanya beraksi satu perlawanan seminggu tetapi sekarang tiga perlawanan dalam tempoh seminggu. Kami juga perlu bertolak ke London untuk Piala FA,” katanya.

Pengendali dari Sepanyol itu memberikan gambaran untuk melakukan penggiliran pemain selain tidak pasti sama ada mereka mampu mencatat kemenangan ataupun tidak ke atas pasukan Liga Kejuaraan itu.

Pada masa sama, City juga mungkin tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah berpengaruh, Rodri apabila bekas pemenang Ballon d’Or itu belum pulih daripada kecederaan dialami ketika bertemu Arsenal.

“Sekiranya kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir, mungkin ia disebabkan keputusan saya betul dan begitu juga sebaliknya. Saya harap keputusan yang dibuat nanti akan menyebelahi pasukan,” ujar Guardiola. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN