PETALING JAYA – Seorang pemandu wanita bertindak pantas membawa penunggang dan pembonceng motosikal yang terlibat dalam kemalangan dengannya ke klinik berhampiran bagi memastikan kedua-duanya mendapatkan rawatan segera.
Pemandu tersebut tampil menjelaskan situasi sebenar di sebuah hantaran miliknya di media sosial iaitu @_thewaaaaaa, selepas menerima pelbagai kecaman orang ramai yang membuat andaian bahawa dia tidak mahu bertanggungjawab ke atas kemalangan itu.
“Alhamdulillah dah selesai ya kawan-kawan. Silap saya sebab saya tak perasan motor dah bagi signal ke kanan.
“Saya brek tapi otak ‘lost’ bila tiba-tiba terlanggar orang. Saya dah minta maaf dekat mereka berdua seribu kali dan sudah bawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Sikap bertanggungjawab wanita itu yang tidak melarikan diri mendapat pujian orang ramai yang menyifatkan dia mempunyai hati yang mulia.
Seorang pengguna, Hidayahilyani, berkata, dia mendoakan agar urusan pemandu wanita itu dipermudahkan selain menasihatinya agar tidak terlalu memikirkan komen-komen negatif yang lain.
“Saya harap awak pergi juga periksa diri sendiri. Awak pun mesti trauma, jangan baca komen negatif. Dah bantu mereka berdua pun dah cukup baik,” katanya.
“Alhamdulillah, sedih tengok dua-dua pihak sebab benda masing-masing tak jangka nak berlaku,” kata pula pengguna @Triasaha.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pihak polis mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.10 pagi semalam melibatkan sebuah kereta yang tidak sempat mengelak sebuah motosikal yang dipercayai menukar laluan secara mengejut sehingga menyebabkan dua individu cedera.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat memaklumkan pemandu wanita berkenaan telah tampil membuat laporan polis dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Pengangkutan Jalan 1959. – KOSMO! ONLINE














