JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan bakal mengambil langkah drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan situasi bekalan diesel negara yang semakin kritikal ketika ini.
Anwar berkata, antara langkah yang akan diambil termasuk kemungkinan mengehadkan pergerakan ahli Kabinet dan kementerian.
Beliau berkata, keputusan mengenai langkah pengehadan pergerakan itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan secara berkala.
Katanya, langkah itu perlu diambil segera bagi mengelakkan Malaysia berhadapan dengan fasa catuan tenaga seperti yang berlaku di beberapa negara lain ketika ini susulan krisis bekalan global.
“Kita perlu mencari jalan untuk mengurangkan penggunaan tenaga. Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuklah amalan kerja dari rumah dan langkah-langkah lain yang dirasakan perlu.
“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana setakat ini, bekalan minyak itu masih ada, saya ingat hingga penghujung bulan Jun. Tetapi diesel sudah mula hadapi masalah. Jadi sebab itu, kita kena ambil beberapa langkah dan akan diumumkan dari masa ke masa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, MTEN kini bersidang setiap dua hari sekali bersama kementerian dan pihak berkaitan untuk memantau situasi bekalan tenaga negara secara dekat.
“Kerana langkah ini sudah kritikal. Kita tidak boleh tangguh lagi kerana sebarang kelewatan dalam mengambil tindakan bakal menjejaskan ekonomi dan kehidupan harian rakyat sekiranya berlaku kekurangan bekalan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keperluan menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) dalam situasi bekalan tenaga ini, Anwar berkata, perkara itu masih belum dibincangkan lagi buat masa ini.
Ditanya mengenai sama ada Pakatan Harapan (PH) akan bertanding solo pada PRN itu nanti, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, perkara itu akan dibincangkan. – KOSMO! ONLINE














