BERMULA dengan niat sederhana untuk mengajak sahabat terdekat belajar ilmu agama pada awal tahun lalu dengan mengadakan sebuah majlis kecil, Dr. Noor Amy Ismail tidak menyangka bahawa akhirnya inisiatif tersebut berkembang menjadi gerakan besar wanita yang menyentuh ribuan jiwa.
Apa yang bermula sebagai jemputan peribadi sempena ulang tahun kelahirannya kini berkembang menjadi fenomena melalui gerakan yang dinamakan sebagai Wanita Itu.
Setiap kali siri Wanita Itu diadakan, ribuan wanita hadir, memenuhi ruang masjid dengan tujuan yang sama iaitu mencari ilmu, memahami kehidupan dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Dalam tempoh singkat, gerakan ini telah menganjurkan 12 majlis ilmu dan menghimpunkan lebih 13,000 wanita daripada pelbagai latar belakang dari seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Perkembangan ini turut didukung oleh sokongan institusi yang memahami nilai ilmu.
Masjid Asy-Syakirin KLCC yang menjadi lokasi utama penganjuran telah banyak membantu serta memberi galakan sejak awal.
Dalam suasana masjid yang inklusif dan terbuka, Wanita Itu berkembang bukan sekadar sebagai program, tetapi sebagai sebuah gerakan yang hidup dalam komuniti.
Namun, di sebalik angka dan sambutan itu, tersirat satu perubahan yang lebih besar, satu kebangkitan kesedaran bahawa wanita hari ini tidak lagi melihat ilmu sebagai pilihan, tetapi sebagai keperluan.
Dalam perjalanan tersebut, beliau turut mengakui bahawa sokongan berterusan daripada suami dan keluarga menjadi antara kekuatan utama yang membolehkannya terus melangkah dengan tenang dan penuh istiqamah.
Noor Amy berkata, dalam dunia yang serba pantas dan kompleks, wanita memikul pelbagai peranan dalam satu masa.
Menurutnya, wanita adalah tonggak keluarga, penyumbang kepada ekonomi, pemimpin dalam organisasi dan pembentuk generasi akan datang.
“Tanpa ilmu, semua ini mudah menjadi beban.
“Dengan ilmu, ia menjadi amanah yang dipikul dengan kejelasan dan hikmah.Melalui Wanita Itu, ilmu tidak dipisahkan antara dunia dan akhirat,” katanya.

ANAK kelahiran Cherok To’ Kun, Pulau Pinang itu berkata, pendekatan yang menekankan tadarus dan tadabbur membuka ruang kepada wanita untuk bukan sahaja membaca al-Quran, tetapi memahami, merenung dan mengaitkannya dengan realiti kehidupan moden.
Di sinilah kekuatan sebenar gerakan ini, ia bukan sekadar majlis ilmu, tetapi ruang pembinaan diri yang menyeluruh, merangkumi spiritual, intelektual serta aspek kehidupan praktikal termasuk kewangan dan keusahawanan.
Dalam usaha memastikan ilmu diterjemahkan kepada tindakan, Wanita Itu turut menggerakkan inisiatif ekonomi melalui Wanita Itu Impact Fund hasil daripada sumbangan para peserta Wanita Itu.
Noor Amy, menyedari keperluan tadbir urus yang telus, sebarang sumbangan disalurkan melalui Islamic Relief Malaysia sebagai rakan pelaksana, memastikan dana diuruskan secara amanah dan berstruktur.
“Melalui inisiatif ini, wanita daripada latar belakang berpendapatan rendah diberi peluang untuk membina perniagaan sendiri, termasuk dalam kalangan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Dengan kerjasama rakan strategik seperti MadCash Sdn. Bhd., para peserta bukan sahaja menerima akses kepada pembiayaan mikro patuh syariah, tetapi turut dibimbing melalui program latihan dan mentorship yang komprehensif, membuka laluan ke arah kemandirian ekonomi yang lebih mampan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Noor Amy menjelaskan, perjalanan Wanita Itu tidak boleh dipisahkan daripada perjalanan hidupnya sendiri.

Beliau memulakan kerjaya seawal usia 21 tahun sejurus menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan di University of Queensland, Australia dengan menyertai Deloitte, salah satu firma perakaunan ‘Big Four’ dunia.
Deloitte lazim digolongkan sebagai firma perakaunan dan pengauditan ‘Big Four’ dunia bersama firma PwC, Ernst & Young dan KPMG.
“Pengalaman awal ini membentuk asas profesionalisme, disiplin dan pemikiran strategik yang menjadi teras kepada perjalanan kerjaya saya.
“Setelah meninggalkan Deloitte, perjalanan tersebut kemudiannya membawa saya merentasi pelbagai peranan kepimpinan dalam sektor media, pelaburan dan pembangunan ekonomi, termasuk di Media Prima, MediaCorp Singapura, InvestKL dan FGV Holdings,” ujarnya.
Tambahnya, beliau juga pernah mengetuai TV9 serta berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri, memberikannya pendedahan luas terhadap landskap korporat dan dasar di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sebahagian daripada perjalanan tersebut turut membawanya menetap di London selama hampir tujuh tahun, memperluas pengalaman global dan perspektif kepimpinan.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau menyumbang sebagai Ketua Pegawai Operasi di MAVCAP, firma modal teroka terbesar di Malaysia (kini dikenali sebagai Jelawang Capital) selama dua tahun, memperkukuhkan lagi peranannya dalam ekosistem pelaburan dan pembangunan syarikat pemula niaga negara.
Namun, di sebalik semua pencapaian tersebut, satu kesedaran semakin jelas bahawa kejayaan dunia tanpa panduan nilai akhirnya akan terasa kosong.
Kesedaran itu mendorong beliau untuk terus menuntut ilmu tanpa henti.
Beliau melengkapkan Doktor Falsafah (PhD) pertamanya dalam bidang perniagaan dan pengurusan, selain mengikuti program Sloan Fellow, Sarjana Sains (MSc) dalam Kepimpinan dan Strategi di London Business School, sebuah institusi yang diiktiraf antara sekolah perniagaan terbaik dunia.
Selain itu, beliau turut melanjutkan pengajian jarak jauh di Cambridge Judge Business School, United Kingdom serta University of Bern, Switzerland untuk Post-Graduate Diploma.
Dalam masa yang sama, keinginan untuk mendalami ilmu agama membawa Noor Amy mengikuti pengajian lanjutan dan memperoleh Advanced Diploma in Islamic Studies daripada Arees College, Kota Damansara.
Namun, perjalanan untuknya menimba ilmu itu tidak berhenti di situ.
Kini pada usia 50 tahun, ketika ramai memilih untuk memperlahankan langkah dalam pendidikan, beliau memilih untuk memulakan satu lagi perjalanan, menyambung PhD kedua dalam bidang Kemanusiaan dengan pengkhususan kepada pelaburan impak dari lensa al-Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Dalam masa yang sama, beliau kini berperanan sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi entiti di bawah Wahed, sebuah platform fintech patuh syariah bertaraf global, selain turut menyumbang sebagai penasihat dalam ruang pemikiran Islam termasuk bersama IKIM FM, mencerminkan usaha berterusan untuk menghubungkan kepimpinan moden dengan nilai-nilai agama.
Dalam semangat memberi kembali, beliau juga terlibat dalam bidang akademik sebagai tenaga pengajar separuh-masa di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, berkongsi pengalaman dan perspektifnya dengan generasi baharu pemimpin.
Di luar dunia akademik dan korporat, disiplin dan ketekunan itu turut tercermin dalam aspek lain kehidupannya. Noor Amy juga merupakan seorang pelari maraton yang aktif dan telah menamatkan lapan maraton termasuk dalam siri World Marathon Majors seperti London, Berlin dan Chicago serta bakal meneruskan cabaran di Sydney Marathon Ogos ini.
Baginya, perjalanan ini bukan sekadar pencapaian fizikal, tetapi simbol kepada ketahanan, konsistensi dan kekuatan mental, nilai yang juga penting dalam perjalanan menuntut ilmu dan membina kehidupan.
Dalam pada itu, Noor Amy tersenyum apabila ditanya mengapa Wanita Itu mendapat sambutan luar biasa dalam tempoh yang singkat.
“Saya rasa wanita hari ini sebenarnya bukan tidak mahu berubah, sebaliknya mereka cuma tidak tahu di mana hendak bermula. Ramai wanita berada dalam keadaan letih, bukan kerana mereka lemah, tetapi kerana terlalu lama memikul pelbagai tanggungjawab tanpa panduan yang jelas.
“Mereka berjaya dalam kerjaya, mereka urus keluarga, mereka cuba menjadi segalanya untuk semua orang, tetapi dalam diam, mereka masih mencari makna,” katanya.
Tambahnya, ilmu bukan sekadar menjadikan wanita berjaya, tetapi menjadikan mereka jelas tentang tujuan hidup.
Melangkah ke hadapan, Wanita Itu kini memasuki fasa baharu melalui pembangunan platform komuniti digital yang bertujuan memperluas impaknya secara global.
Inisiatif ini diinspirasikan oleh platform antarabangsa seperti Circle dan Mighty Networks di Amerika Syarikat yang telah berkembang menjadi ekosistem digital bernilai tinggi dengan capaian pengguna yang luas serta menjana ratusan juta dalam pendapatan. Namun, Wanita Itu membawa pendekatan yang berbeza.
Jika platform global tersebut dibina atas minat dan jaringan profesional, Wanita Itu dibina atas asas iman, ilmu dan tujuan hidup.
Noor Amy percaya, sekiranya satu hari nanti Wanita Itu berkembang menjadi sebuah platform bernilai jutaan ringgit, impaknya tidak seharusnya terhenti pada komuniti semata-mata.
Cita-citanya adalah untuk menubuhkan sebuah yayasan yang membolehkan wanita muda daripada latar belakang rentan dihantar menuntut ilmu di universiti-universiti terbaik dunia membuka peluang yang mungkin tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini.
Dalam era digital, komuniti bukan lagi sekadar pertemuan fizikal, tetapi satu ekosistem yang mampu merentasi sempadan.
Bagi Wanita Itu, digitalisasi bukan sekadar soal teknologi, tetapi bagaimana nilai dan ilmu dapat disampaikan secara berterusan, konsisten dan berimpak.
Menutup bicara, Noor Amy berkata, Wanita Itu bukan sekadar sebuah gerakan.
“Ia adalah refleksi kepada satu perubahan yang lebih besar, bahawa wanita hari ini tidak lagi mahu hidup tanpa arah, tidak lagi mahu memilih antara dunia dan akhirat dan tidak lagi mahu berjalan sendirian dalam pencarian mereka.
“Sebaliknya, mereka memilih untuk berilmu,kerana pada akhirnya, ilmu bukan sahaja membentuk kehidupan di dunia, tetapi menentukan arah perjalanan menuju akhirat,” jelasnya.
















