fbpx
Tangkap layar hantaran pengguna berkenaan sekumpulan pemandu motosikal yang menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan di Putrajaya.

‘Kami nak rehat, bukan dengar bunyi ekzos’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sekumpulan pemandu motosikal yang menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan di sekitar kawasan Putrajaya mengundang kecaman ramai.

Menerusi satu hantaran di Threads oleh @dahi.syed, aktiviti itu dikesan berlaku di kawasan berdekatan hospital dan kediaman penduduk.

“Sebagai penduduk Putrajaya, sini aku cerita dekat situ ada apa, ada hospital, wad bersalin yang berisiko rendah dan banyak lagi,” katanya.

Aktiviti itu dikatakan telah mengganggu ketenteraman orang awam dan dianggap sangat tidak bertimbang rasa memandangkan ramai pesakit yang memerlukan suasana yang tenang untuk berehat.

Meninjau ke ruangan komen, seorang pengguna turut meluahkan pengalaman pahit apabila terpaksa menahan telinga mendengar bunyi ekzos yang bising ketika sedang dirawat di wad bersalin.

“Saya pernah tinggal dekat Wad Bersalin Berisiko Rendah P8 dan kita ini tak cukup rehat jaga bayi baru lahir. Boleh pula geng motosikal masa itu macam dekat litar Sepang bunyinya,” kata pengguna @Realreynareen.

“Kita ini duduk dekat kawasan Presint 8 tepi jalan utama itu, memang bising kalau puak ini datang nak cuba bunyikan ekzos. Tengah malam pula itu, lagi-lagi hujung minggu,” kata pula pengguna @iamhafizjamaluddin.

Isu berkenaan turut mendapat maklum balas daripada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin yang mengesahkan telah menerima aduan berhubung video aksi berbahaya tersebut.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam adalah keutamaan, selain telah meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

“Saya menerima kiriman video berkaitan aktiviti bermotosikal yang melibatkan aksi berbahaya, termasuk perlumbaan, di sekitar Jambatan Putra, Presint 1, Putrajaya.

“Kawasan ini merupakan laluan awam dan tindakan sedemikian adalah berbahaya kepada orang awam yang menggunakan laluan tersebut dan saya telah memohon pihak Polis mengambil tindakan segera serta mempertingkatkan pemantauan,” katanya dalam satu hantaran di Threads. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN