KUALA LUMPUR – “Liza Hanim sebenarnya nak tumpang populariti saya”.
Demikian respons penyanyi Ameng Spring tentang luahan rasa tidak puas rakan sealiran, Liza Hanim yang mendakwa terkilan dengan kenyataannya dalam sesi siaran langsung baru-baru ini.
Menurut Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 58, Liza yang juga juara rancangan Talk To My Manager musim pertama (TTMM1) bersama anaknya, Marsya Qistina sekadar menangguk di air yang keruh.
“Dia sebenarnya nak cari publisiti murahan dan tumpang glamor saya. Dia dah tak ada modal lain. Dalam sesi ‘live’ itu, saya cakap jangan harapkan kemenangan. Kadang-kadang kemenangan tidak menjanjikan apa-apa.
“Saya sendiri selalu kalah dalam pertandingan sejak tahun 1989 lagi. Tapi saya tetap popular. Yang menang pun belum tentu popular. Tetapi saya tak cakap tentang TTMM1 dan Marsya Qistina.
“Walaupun orang kata dia tak sebut nama, tetapi dia petik penyanyi senior. Siapa lagi penyanyi senior yang buat ‘live’ dalam TikTok? Sayalah!,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Suria FM, di sini, malam tadi.
Tambah pelantun lagu Sampai Hati itu lagi, Liza Hanim tidak sepatutnya terasa dengan kenyataannya sebaliknya perlu bekerja keras untuk menaikkan nama anaknya.
“Dia tak perlu nak melatah dengan kenyataan saya. Tak perlu menyalak menyalahkan orang lain. Apa yang dia perlu lakukan adalah buktikan anaknya seorang juara.
“Dia menang dapat duit RM30,000 tapi dia pergi melancong. Patutnya dia pergi cari Melly Goeslaw buat lagu anak dia. Baru meletup,” jelasnya.
Ditanya adakah dia ada menghubungi Liza untuk menyelesaikan masalah ini, kata Ameng dia ada menghantar mesej kepada penyanyi itu semalam.
“Saya paling marah bila dia kata berhati-hati jaga mulut. Saya hantar mesej kepadanya minta dia yang jaga mulut dia bukan mulut orang.
“Kemudian dia balas kalau dia tutup saya pun kena tutup. Dia cuba untuk berlawan.
“Apa yang saya boleh katakan jangan cuba jolok sarang tebuan. Dengan orang lain kau boleh. Tetapi dengan aku, aku nasihat kau jangan. Saya boleh jadi huru-hara. Saya tak kisah. Saya berani kerana benar,”ujarnya.
Ujarnya lagi, dia tidak akan meminta maaf kepada Liza dan penyanyi itu juga tidak perlu meminta maaf kepadanya.
“Tak perlu semua itu. Apa yang dia perlu lakukan saya cabar dia buktikan satu hari nanti Marsya akan jadi penyanyi yang meletup,” tegasnya.
Terdahulu, Liza Hanim meluahkan rasa terkilan terhadap seorang artis senior yang dikatakan membuat kenyataan tentang juara tidak ke mana sewaktu melakukan sesi siaran langsung dalam TikTok. – KOSMO! ONLINE














